8: JALAN MEMPEROLEHI MAKRIFAT.
APABILA TUHAN MEMBUKAKAN BAGIMU JALAN UNTUK MAKRIFAT, MAKA JANGAN
HIRAUKAN TENTANG AMALMU YANG MASIH SEDIKIT KERANA ALLAH S.W.T TIDAK MEMBUKA
JALAN TADI MELAINKAN DIA BERKEHENDAK MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU.
Kalam-kalam Hikmat
yang dihuraikan terlebih dahulu mengajak kita merenung secara mendalam tentang
pengertian amal, Qada’ dan Qadar, tadbir dan ikhtiar, doa dan janji Allah s.w.t
, yang semuanya itu mendidik rohani agar
melihat kecilnya apa yang datangnya daripada hamba dan betapa besar pula apa
yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.
Rohani yang
terdidik begini akan membentuk sikap
beramal tanpa melihat kepada amalan itu sebaliknya melihat amalan itu
sebagai kurniaan Allah s.w.t yang wajib disyukuri. Orang yang terdidik seperti
ini tidak lagi membuat tuntutan kepada Allah s.w.t tetapi membuka hati
nuraninya untuk menerima taufik dan hidayat daripada Allah s.w.t.
Orang yang hatinya suci bersih akan menerima pancaran Nur Sir dan mata
hatinya akan melihat kepada hakikat bahawa Allah s.w.t, Tuhan
Yang Maha Mulia, Maha Suci dan Maha Tinggi tidak mungkin ditemui dan dikenali
kecuali jika Dia mahu ditemui dan dikenali. Tidak ada ilmu dan amal yang mampu menyampaikan seseorang kepada
Allah s.w.t. Tidak ada jalan untuk mengenal Allah s.w.t. Allah s.w.t hanya
dikenali apabila Dia memperkenalkan ‘diri-Nya’.
Penemuan kepada
hakikat bahawa tidak ada jalan yang terhulur kepada gerbang makrifat
merupakan puncak yang dapat dicapai oleh ilmu. Ilmu tidak mampu pergi lebih
jauh dari itu. Apabila mengetahui dan
mengakui bahawa tidak ada jalan atau tangga yang dapat mencapai Allah s.w.t
maka seseorang itu tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya, apa lagi
kepada ilmu dan amal orang lain. Bila sampai di sini seseorang itu tidak ada
pilihan lagi melainkan menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t.
Bukan senang mahu
membulatkan hati untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Ada orang yang
mengetuk pintu gerbang makrifat dengan doanya. Jika pintu itu tidak terbuka
maka semangatnya akan menurun hingga boleh membawa kepada berputus asa.
Ada pula orang yang berpegang dengan janji Allah s.w.t bahawa Dia akan
membuka jalan-Nya kepada hamba-Nya yang berjuang pada jalan-Nya. Kuatlah dia
beramal agar dia lebih layak untuk menerima kurniaan Allah s.w.t sebagaimana
janji-Nya. Dia menggunakan kekuatan amalannya untuk mengetuk pintu gerbang
makrifat. Bila pintu tersebut tidak terbuka juga maka dia akan berasa
ragu-ragu.
Dalam perjalanan
mencari makrifat seseorang tidak terlepas daripada kemungkinan menjadi
ragu-ragu, lemah semangat dan berputus asa jika dia masih bersandar kepada
sesuatu selain Allah s.w.t.
Hamba tidak ada pilihan kecuali berserah kepada Allah s.w.t,
hanya Dia yang memiliki kuasa Mutlak dalam menentukan siapakah antara
hamba-hamba-Nya yang layak mengenali Diri-Nya. Ilmu dan amal
hanya digunakan untuk membentuk hati yang berserah diri kepada Allah s.w.t.
Aslim atau menyerah diri kepada Allah s.w.t adalah perhentian di hadapan pintu
gerbang makrifat. Hanya para hamba yang sampai di perhentian aslim ini yang berkemungkinan menerima kurniaan
makrifat. Allah s.w.t menyampaikan hamba-Nya di sini adalah tanda bahawa si
hamba tersebut dipersiapkan untuk menemui-Nya.
Aslim adalah makam berhampiran dengan Allah s.w.t. Sesiapa yang
sampai kepada makam ini haruslah terus membenamkan dirinya ke dalam lautan
penyerahan tanpa menghiraukan banyak atau sedikit ilmu dan amal yang
dimilikinya. Sekiranya Allah s.w.t kehendaki dari makam inilah hamba
diangkat ke Hadrat-Nya.
Jalan menuju
perhentian aslim iaitu ke pintu gerbang makrifat secara umumnya terbahagi
kepada dua.
1).Jalan pertama dinamakan jalan orang yang mencari dan
2).Jalan kedua dinamakan jalan orang yang dicari.
A]. Orang yang mencari: akan melalui jalan
di mana dia kuat melakukan mujahadah, berjuang melawan godaan hawa nafsu, kuat
melakukan amal ibadat dan gemar menuntut ilmu. Zahirnya sibuk melaksanakan
tuntutan syariat dan batinnya memperteguhkan iman. Dipelajarinya tarekat
tasauf, mengenal sifat-sifat yang tercela dan berusaha mengikiskannya daripada
dirinya. Kemudian diisikan dengan sifat-sifat yang terpuji. Dipelajarinya
perjalanan nafsu dan melatihkan dirinya agar nafsunya menjadi bertambah suci
hingga meningkat ke tahap yang diredai Allah s.w.t. Inilah orang yang
diceritakan Allah s.w.t dengan firman-Nya:
Dan orang-orang
yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami,
sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan
mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan
bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki
amalannya. ( Ayat 69 : Surah al-‘Ankabut )
Wahai manusia!
Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat - (menjalankan keadaan hidupmu) dengan
sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian
engkau tetap menemui balasan apa yang telah engkau usahakan itu (tercatit
semuanya). (Ayat 6 : Surah al-Insyiqaaq )
Orang yang
bermujahadah pada jalan Allah s.w.t dengan cara menuntut ilmu, mengamalkan ilmu
yang dituntut, memperbanyakkan ibadat, berzikir, menyucikan hati, maka Allah
s.w.t menunjukkan jalan dengan memberikan taufik dan hidayat sehingga terbuka
kepadanya suasana berserah diri kepada Allah s.w.t tanpa ragu-ragu dan reda
dengan lakuan Allah s.w.t. Dia dibawa hampir dengan pintu gerbang makrifat dan
hanya Allah s.w.t sahaja yang menentukan apakah orang tadi akan dibawa ke
Hadrat-Nya ataupun tidak, dikurniakan makrifat ataupun tidak.
B]. Golongan orang yang dicari: menempuh jalan yang
berbeza daripada golongan yang mencari. Orang yang dicari tidak cenderung untuk
menuntut ilmu atau beramal dengan tekun. Dia hidup selaku orang awam tanpa
kesungguhan bermujahadah. Tetapi, Allah s.w.t telah menentukan satu kedudukan
kerohanian kepadanya, maka takdir akan mengheretnya sampai ke kedudukan yang
telah ditentukan itu.
Orang dalam
golongan ini biasanya berhadapan dengan sesuatu peristiwa yang dengan
serta-merta membawa perubahan kepada hidupnya. Perubahan sikap dan kelakuan
berlaku secara mendadak. Kejadian yang menimpanya selalunya berbentuk ujian
yang memutuskan hubungannya dengan sesuatu yang menjadi penghalang di antaranya
dengan Allah s.w.t.
Jika dia seorang
raja yang beban kerajaannya menyebabkan dia tidak mampu mendekati Allah s.w.t,
maka Allah s.w.t mencabut kerajaan itu daripadanya. Terlepaslah dia daripada
beban tersebut dan pada masa yang sama timbul satu keinsafan di dalam hatinya
yang membuatnya menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan sepenuh hatinya.
Sekiranya dia seorang hartawan takdir akan memupuskan hartanya sehingga dia
tidak ada tempat bergantung kecuali Tuhan sendiri. Sekiranya dia berkedudukan
tinggi, takdir mencabut kedudukan tersebut dan ikut tercabut ialah kemuliaan
yang dimilikinya, digantikan pula dengan kehinaan sehingga dia tidak ada tempat
untuk dituju lagi kecuali kepada Allah s.w.t.
Orang dalam golongan ini dihalang oleh takdir daripada menerima bantuan
daripada makhluk sehingga mereka berputus asa terhadap makhluk. Lalu
mereka kembali dengan penuh kerendahan hati kepada Allah s.w.t dan timbullah
dalam hati mereka suasana penyerahan atau aslim yang benar-benar terhadap Allah
s.w.t. Penyerahan yang tidak mengharapkan apa-apa daripada makhluk menjadikan
mereka reda dengan apa sahaja takdir dan lakuan Allah s.w.t.
Suasana begini membuat mereka sampai dengan cepat ke perhentian pintu
gerbang makrifat walaupun ilmu dan amal mereka masih sedikit. Orang
yang berjalan dengan kenderaan bala bencana mampu sampai ke perhentian tersebut
dalam masa dua bulan sedangkan orang yang mencari mungkin sampai dalam masa dua
tahun.
Abu Hurairah r.a menceritakan yang beliau r.a mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
Allah berfirman: “ Apabila Aku menguji hamba-Ku yang beriman kemudian dia tidak mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya maka Aku lepaskan dia dari belenggu-Ku dan Aku gantikan baginya daging dan darah yang lebih baik dari yang dahulu dan dia boleh memperbaharui amalnya sebab yang lalu telah diampuni semua”.
.
AlhamduliLLahirobil'alamin
ReplyDelete