62 – 64: WIRID DAN WARID.
SESUNGGUHNYA WIRID MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU MENDEKAT
DAN MASUK KE HADRAT ALLAH S.W.T.
WIRID MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU TERSELAMAT DARI
KEKUASAAN DEBU-DEBU DUNIA DAN SUPAYA KAMU MERDEKA DARI PERBUDAKAN MATA BENDA
DAN SYAHWAT KEDUNIAAN.
WIRID MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU BEBAS DARI PENJARA
WUJUD KAMU DAN MASUK KEPADA SYUHUD (PENYAKSIAN).
Tidak mungkin bayi
suci yang lahir dalam hati dapat dipelihara dan dilindungi dengan kekuatan dan
kepandaian seseorang manusia itu.
Manusia berhajat
kepada Allah s.w.t untuk memelihara dan melindunginya. Hanya kurniaan Allah
s.w.t yang mendatangi hati seseorang hamba itu yang mampu menjadi tentera
menjaga khazanah kebaikan yang ada dalam hati.
Kurniaan Allah s.w.t itu hanya menetap jika suasana hati sesuai
untuknya. Allah s.w.t berkuasa mencabut semula apa juga
kurniaan-Nya kepada hamba-Nya. Kesalihan telah dicabut daripada Azazil
sehingga dia menjadi iblis. Kesalihan juga telah dicabut daripada Bal’am bin
Ba’ura sehingga dia hidup di hutan seperti haiwan. Sesiapa yang menyangka kebaikan dan kelebihan yang ada padanya sebagai
hak mutlaknya, lupa dia kepada kurniaan Allah s.w.t dan kekuasaan-Nya,
sesungguhnya orang itu menanti masa untuk menerima kemurkaan Allah s.w.t.
Sekiranya Allah s.w.t mengasihani seseorang hamba itu Dia akan
meletakkan sesuatu kelemahan pada hamba tersebut. Kelemahan itu
sentiasa membayanginya untuk memperingatkannya tentang tarafnya sebagai hamba
Tuhan yang sentiasa berhajat kepada-Nya. Nabi Muhammad s.a.w dihadapkan
dengan kelemahan dalam membuat bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib,
mengucapkan dua kalimah syahadah.
Nabi Nuh a.s
dihadapkan dengan kelemahan dalam memujuk isteri dan anak supaya ikut menaiki
kapalnya. Orang kaya dihadapkan dengan penyakit yang hartanya tidak mampu
mengubatinya. Orang yang diberi kebolehan dihadapkan dengan kelemahan
mendapatkan sesuatu yang sangat diingininya. Setiap orang berdiri dengan
kelemahan yang tidak mungkin dia mengatasinya, kecuali dengan izin Allah s.w.t. Hal yang demikian menjadi rahmat yang
memelihara kehambaan pada seseorang hamba itu.
Hikmat-hikmat di
atas menceritakan tentang persiapan hati untuk menerima kedatangan kurniaan
Allah s.w.t. Persiapan hati itu
dinamakan wirid dan kurniaan Allah s.w.t dinamakan warid.
Aurad atau wirid
adalah amal ibadat yang dilakukan secara berterusan menurut satu pola yang
tertentu. Orang yang mengamalkan wirid akan melakukan jenis ibadat yang serupa
pada tiap-tiap hari. Jika satu-satu
amalannya tidak dapat dilakukannya pada masa yang biasa dia melakukannya kerana
sesuatu halangan yang tidak dapat dielakkannya, maka dia akan melakukan amalan
yang tertinggal itu pada masa lain. Apabila seseorang sudah beramal secara
demikian dengan teguh, maka dia dikatakan beramal secara aurad atau wirid. Amal
ibadat yang dilakukan dengan banyak hanya pada hari-hari tertentu dan
tidak dilakukan dengan banyak pada hari-hari lain tidak dinamakan wirid.
Wirid yang terbaik
adalah yang menggabungkan sembahyang, puasa dan zikir, seperti yang diamalkan
oleh Rasulullah s.a.w semasa hidup baginda s.a.w. Wirid yang diamalkan oleh
Rasulullah s.a.w diikuti oleh para sahabat. Dari para sahabat amalan ini
berkembang kepada generasi-generasi kemudian hinggalah ke hari ini. Guru-guru
yang arif kemudiannya menyusun wirid-wirid yang boleh diamalkan oleh
murid-murid mereka mengikut darjat rohani mereka. Murid yang tekun mengamalkan wirid yang ditalkinkan oleh gurunya
berkemungkinan didatangi oleh warid.
Warid adalah pengalaman rohani yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hati
murid yang mengekali wirid. Selain dinamakan warid, ia juga
dipanggil dengan nama-nama lain seperti hal, pengalaman hakikat, waridah, Nur
Ilahi, Sirr dan lain-lain, menurut
istilah tasauf.
Banyaknya istilah yang
digunakan adalah kerana sukarnya mahu menceritakan tentang apa yang sebenar
berlaku pada hati seseorang yang menerima kurniaan Allah s.w.t. Nur atau warid
yang datang kepada hati seorang murid tidak sama dengan yang lain. Masa
kedatangannya juga tidak serupa, walaupun murid-murid tersebut mengamalkan
wirid yang serupa. Ada murid yang cepat mendapat warid dan ada yang lambat
bahkan ada juga yang tidak pernah memperolehinya.
Tempoh warid
menetap di dalam hati juga tidak serupa. Ada yang memperolehi warid hanya
sekadar beberapa minit sahaja, kemudian ia menghilang. Ada yang bertahan selama
satu minggu, sebulan, setahun dan sebagainya. Keadaan tidak menentu itu terjadi
kerana murid belum mencapai keteguhan atau istiqamah. Warid yang menetap hingga menjadi sifat murid itu dinamakan wisal dan
dia akan hidup berterusan dengan wisal yang menyerap pada dirinya, hingga ke
akhir hayatnya.
Seorang murid atau
salik perlulah bersungguh-sungguh mengamalkan wirid atau aurad bagi menyucikan
hati agar hati itu berada dalam keadaan yang sesuai dan layak menerima
kedatangan warid atau Nur Ilahi. Wirid
adalah amalan untuk mempersiapkan diri, bukan wirid itu yang mengangkat
seseorang ke Hadrat Allah s.w.t, bukan wirid yang mendatangkan warid.
Warid adalah
semata-mata kurniaan Allah s.w.t, tetapi hanya hati yang sesuai sahaja yang
boleh menanggung kedatangannya, seperti juga wahyu yang merupakan kurniaan
Allah s.w.t namun, hanya hati nabi-nabi yang boleh menerima kedatangannya. Apabila seseorang itu menerima kedatangan
warid itu tandanya Allah s.w.t berkenan membawanya hampir dengan-Nya.
Warid yang diterima
oleh hati itu menarik hati kepada Allah s.w.t dengan mengeluarkannya dari
penjara dunia dan syaitan. Kekuatan dunia, hawa nafsu, syaitan dan mata benda
tidak dapat menyekat hati yang berjalan dengan warid kerana warid itu adalah
tarikan langsung dari Allah s.w.t, bahkan orang yang menerima warid itu sendiri
tidak dapat menghalang berlakunya kesan warid ke atas dirinya.
Tarikan langsung
dari Allah s.w.t mengelurkan hati nurani dari penjara wujud dan masuk ke dalam
tauhid yang hakiki, menyaksikan (syuhud) dengan mata hatinya akan keesaan Allah
s.w.t.
Orang yang hatinya
didatangi warid akan mengalami perubahan yang luar biasa. Jiwanya akan berasa tenang dan fikirannya tidak lagi kusut-masai.
Dia dapat merasakan kelazatan beribadat dan berdzikir. Warid yang masuk ke
dalam hati menghancurkan sifat-sifat yang keji dan melahirkan sifat-sifat yang
terpuji.
Warid yang diterima
oleh hati melahirkan beberapa jenis perasaan. Hati mungkin berasa gembira dan mungkin juga berasa sayu bila
menerima kedatangan warid. Warid dalam suasana gembira adalah tajalli
Allah s.w.t kepada hamba-Nya dengan sifat Jamal (keindahan). Warid yang
melahirkan rasa sedih dan kecut hati adalah tajalli Allah s.w.t dengan sifat
Jalal (kebesaran).
Orang yang
mengalami suasana sifat keindahan Allah s.w.t akan merasai kedamaian,
ketenangan, keseronokan, kelazatan dan sangat membahagiakan. Pengalaman rohani
tersebut membuatnya mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha
Penyayang, Maha Lemah-lembut, Maha Pengampun dan sifat-sifat lain yang
menyenangkan. Apabila hati rohani mengalami sifat-sifat keagungan dan
keperkasaan Allah s.w.t maka akan terasa kecut hatinya, menggeletar tubuhnya
dan mungkin dia jatuh pengsan. Pengalaman begini membuatnya mengenali Allah
s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Perkasa, Maha Keras, Maha Tegas, Maha Hebat
seksaan-Nya dan tidak ada sesuatu yang terlepas dari genggaman-Nya.
Pengalaman warid
adalah umpama Mikraj (tangga) untuk mencapai Allah s.w.t.
1).Warid peringkat pertama menggerakkan
hati supaya rajin beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
2).Warid peringkat kedua memutuskan si
hamba dari pergantungan kepada makhluk dan membulatkan semangatnya untuk
berpegang kepada Allah s.w.t semata-mata.
3).Warid
peringkat ke tiga melepaskan si hamba dari sifat-sifat kemanusiaan dan
seterusnya bebas dari kewujudan yang terbatas lalu masuk kepada Wujud Mutlak
yang tiada batas. Kesedarannya tidak ada lagi pada dirinya dan alam maujud
seluruhnya, yang ada hanya Allah s.w.t Yang Maha Esa lagi Maha Berdiri Dengan
Sendiri.
No comments:
Post a Comment