73: NIKMAT DAN BALA ADALAH JALAN MENDEKATI ALLAH S.W.T.
SESIAPA YANG ENGGAN MENGHADAP ALLAH S.W.T DENGAN KEHALUSAN KURNIA-NYA
AKAN DIHERET (UNTUK MENGHADAP-NYA) DENGAN RANTAI UJIAN BALA.
Sekiranya Allah
s.w.t telah menentukan seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya, sudah pasti
si hamba itu akan sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah
s.w.t melalui dua cara.
1). Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada Allah s.w.t. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. 2). Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya. Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada Allah s.w.t kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya.
Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah s.w.t. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya.
Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah s.w.t kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada Allah s.w.t dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. Begitulah dua jalan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. Allah s.w.t berfirman:
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Ayat 15 : Surah ar-Ra’d)
Walau jalan mana
pun yang ditempuh oleh seseorang hamba itu, Allah s.w.t menantinya dengan
keampunan, rahmat dan kasih sayang-Nya. Si hamba dibawa hampir dengan-Nya dan
dikurniakan berbagai-bagai nikmat yang menggembirakan sehingga mereka tidak
berasa rugi lantaran berpisah daripada kesenangan duniawi.
Ujian menjadi batu
pengasah untuk menggilap iman seseorang. Ada orang diuji dengan rezeki, ditaburkan
rezeki kepadanya atau disempitkan. Keluasan rezeki membentuk kesyukuran dan
kesempitan membentuk kesabaran. Jiwa yang dicanai oleh kesyukuran dan kesabaran
akan menimbulkan rasa penyerahan dan pergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t.
Keluasan rezeki
membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Baik, Maha Pemurah. Kesempitan
rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Keras, Maha Perkasa. Pada
kedua-duanya dia mengenali Allah s.w.t yang menghalau takdir demi takdir dengan
penuh hikmat kebijaksanaan.
(Mengapa mereka
bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka)
bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (sebagai
cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang
menyempitkannya (sebagai ujian samada diterima dengan sabar atau tidak)?
Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (Ayat 37 :
Surah ar-Ruum)
Orang yang beriman
dengan Allah s.w.t dan takdir-Nya akan mendapat pimpinan-Nya. Allah s.w.t berkuasa membalikkan
hati-hati.
Dipimpin-Nya hati
orang yang beriman agar menghadap kepada-Nya. Orang yang dipimpin-Nya akan
berasa mudah untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Kehalusan pimpinan-Nya itu membuat hamba mengenali kekuasaan-Nya pada
membalikkan hati yang keras menjadi lembut dan yang malas beribadat menjadi
rajin.
Tidak ada kesusahan
(atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan
sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima
apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Ayat 11 : Surah at-Taghaabun)
Orang-orang yang
beriman akan sentiasa diuji kerana ujian itu membawa berbagai-bagai ganjaran,
nikmat dan kurniaan dari Allah s.w.t. Kekuatan
amal ibadat tidak berdaya mengangkat darjat seseorang hamba, lalu Allah s.w.t
hantarkan ujian dan melalui ujian itulah hamba-Nya dipersucikan dan diangkat
darjatnya. Dalam melakukan yang demikian, Allah s.w.t kenakan ujian
kepada hamba-Nya melalui perkara-perkara yang hampir dengan hamba itu, seperti
harta dan keluarga.
Sesungguhnya
hartabenda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian; dan di sisi
Allah jualah pahala yang besar. (Ayat 15 : Surah at-Taghaabun)
Ujian menjadi
pengasing, mengasingkan hati yang beriman dengan hati yang kufur. Dalam medan
ujian itu ramai manusia disesatkan oleh iblis kerana hati mereka diselimuti
oleh keraguan. Orang yang beriman dapat bertahan menghadapi gelombang ujian
itu, malah ujian menambahkan kekuatan iman.
Keupayaan mengekalkan iman di dalam mengharungi lautan ujian
membuat hamba menginsafi bahawa sebenarnya Allah jua yang memelihara imannya
itu, bukan kekuatan dirinya.
Dan sesungguhnya
iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya,
kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya dengan
hasutannya). Dan sememangnya tiadalah bagi iblis sebarang kuasa untuk
menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan
Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa
pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta
mengawasi tiap-tiap suatu. (Ayat 20 & 21 : Surah Saba’)
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete