120: ZAHIR BERSYARIAT DAN BATIN BERIMAN.
APABILA KAMU PADA ZAHIRNYA DIHIASKAN DENGAN TAAT KEPADA PERINTAH-NYA DAN
DIKURNIAKAN PADA BATIN KAMU MENYERAH BULAT KEPADA ALLAH S.W.T, YANG DEMIKIAN
ADALAH SEBESAR-BESAR NIKMAT BUAT KAMU.
Hamba Allah yang
sejati adalah yang menggunakan segala daya dan upayanya untuk mentaati Allah
s.w.t, menurut segala perintah-Nya tanpa hujah, tanpa tangguh, tanpa ragu-ragu
dan pada masa yang sama hatinya yakin sungguh-sungguh kepada ketuhanan Allah
s.w.t yang memelihara, menjaga, melindungi, menguruskan segala sesuatu dengan
cara yang paling baik.
Mentaati perintah Allah s.w.t dengan memelihara sempadan syariat
dinamakan takwa, dan keyakinan hati terhadap ketuhanan Allah s.w.t yang
memelihara serta mengatur, dinamakan iman.
- Gandingan iman dan takwa melahirkan sifat ubudiyah
yang sejati.
- Beriman tanpa bertakwa atau beramal adalah
kejahilan.
- Beramal tanpa beriman adalah munafik.
Iman dan takwa merupakan dua belah sayap yang saling bantu membantu agar
insan dapat terbang menuju Tuhan. Jika hanya satu sayap sahaja yang
ada seseorang itu hanya berpusing-pusing di bumi. Walaupun jauh jarak
yang telah dipusingnya namun, dia tetap berada di bumi, tidak terbang ke alam
tinggi.
Seseorang yang
menggabungkan iman dan takwa adalah orang yang bersesuaian zahirnya dengan
batinnya atau harmoni kedudukan syariat dan hakikatnya. Amalan zahirnya sesuai
dengan tuntutan syarak dan batinnya menghadap kepada Allah s.w.t.
Orang yang
bersesuaian iman dan takwanya, zahir dan batinnya, syariat dan hakikatnya,
jasmani dan rohaninya, sebenarnya mendapat sebesar-besar nikmat daripada Allah
s.w.t. Dia terlepas daripada sifat munafik. Dia berada pada tarekat
(jalan) yang benar.
1]. Apabila seseorang menganut agama Islam
dia dinamakan Muslim. Muslim
menerima syariat Islam sebagai cara hidupnya. Dia memahami dan mengakui akan
kebaikan dan kebenaran peraturan yang ditetapkan oleh syariat Islam.
2]. Kemudian dia beriman dengan sesungguhnya
kepada Allah s.w.t. Kedudukannya naik daripada muslim kepada Mukmin. Mukmin mempunyai
keyakinan yang teguh terhadap Allah s.w.t dan dia tidak ragu-ragu untuk
menyerahkan seluruh kehidupannya kepada Tuhan. Dia yakin Allah s.w.t sahaja
yang mengatur kehidupannya. Orang Mukmin mematuhi syariat bukan kerana kebaikan
dan kebenaran syariat itu semata-mata, tetapi adalah kerana Allah s.w.t. Dia
melihat syariat sebagai peraturan Allah s.w.t dan sebagai hamba dia wajib akur
kepada peraturan tersebut.
3]. Ketaatan kepada syariat yang didorong
oleh iman yang teguh membentuk sifat takwa. Orang yang bertakwa naik dari tahap
Mukmin kepada tahap Muttaqin. Makam
muttaqin adalah makam keteguhan beramal dengan syariat Islam dan ketetapan hati
bersandar kepada Allah s.w.t.
5]. Keteguhan dan ketetapan hati dalam makam
muttaqin menjadi tangga untuk mencapai makam Muqarrabin iaitu orang yang hampir dengan Allah s.w.t. Orang
yang paling hampir dengan Tuhan adalah orang yang paling bertakwa iaitu orang
yang paling teguh kedudukannya pada makam muttaqin.
* notes penyusun:
Muslim > Mukmin > Muttaqin >
Muqorrabin > ‘Ariffeen
Sekiranya Allah
s.w.t berkehendak mengurniakan kepada hamba-Nya kedudukan yang baik pada
sisi-Nya maka hamba tersebut dikurniakan keteguhan dalam melakukan ketaatan
kepada-Nya dan diperkuatkan imannya. Hamba yang memperolehi kurniaan begini
menjadi hamba yang gemar beribadat, beramal salih dan kuat pula bertawakal
kepada Allah s.w.t. Inilah hamba Allah s.w.t yang berjaya.
.
Assalaamualaikum wbt mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete