78: KURNIAAN ALLAH S.W.T YANG MENETAP PADA HAMBA-NYA.
SEBAHAGIAN PARA HAMBA DITENTUKAN OLEH ALLAH S.W.T UNTUK BERKHIDMAT
KEPADA-NYA DAN ADA PULA SEBAHAGIAN YANG DIISTIMEWAKAN ALLAH S.W.T DENGAN
MENCINTAI-NYA. KEPADA MASING-MASING ITU DIBERIKAN BANTUAN DARI KURNIAAN TUHAN
DAN KURNIAAN TUHAN ITU TIDAK TERBATAS.
Para hamba Allah
s.w.t yang sampai kepada penghujung perjalanan mereka dikurniakan Allah s.w.t
menetap dengan salah satu dari dua hal,
1). iaitu sama ada berkhidmat kepada Allah s.w.t
atau
2). fana dalam
mencintai-Nya.
Para hamba yang
ditentukan untuk berkhidmat kepada Allah s.w.t terdiri dari dua golongan.
1).Golongan pertama adalah ahli akhirat yang mencapai makam Mukmin dan 2).Golongan kedua adalah ahli Allah s.w.t yang diserapkan oleh hal abid dan zahid.
1a).Para Mukmin adalah tentera Allah
s.w.t yang berjuang menegakkan syariat
Allah s.w.t dengan bersenjatakan sabar. Mereka tidak berhenti-henti
berjihad pada jalan Allah s.w.t, menegakkan syariat-Nya dan memerangi hawa
nafsu. Ahli jihad tersebut tidak takut mati kerana mereka melihat kematian
dalam jihad adalah mati syahid dan darahnya digantikan dengan syurga yang maha
indah. Para Mukmin, ahli jihad yang teguh dalam kesabaran adalah para hamba
yang didekatkan.
2a).Para abid dan zahid pula adalah
hamba-hamba yang telah melepasi makam sabar dan masuk kepada makam reda lalu menjadi hamba-hamba pilihan dan
dimuliakan.
Makam abid dan zahid sangat mulia di
sisi Allah s.w.t kerana mereka tidak membuat sebarang pekerjaan kecuali
beribadat kepada Allah s.w.t, mentaati sekalian perintah-Nya dengan keikhlasan
sejati tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Mereka tidak melihat kepada amal perbuatan mereka tetapi
melihat ibadat itu sebagai kurniaan dari Allah s.w.t yang sangat berharga. Semakin
banyak amal ibadat yang terdaya mereka lakukan semakin kuatlah kesyukuran
mereka. Hati mereka tidak lagi diganggu oleh tarikan dunia dan rangsangan
syahwat.
1b). Jika para Mukmin biasa diibaratkan sebagai
orang yang menanam pokok kerana mengetahui pokok tersebut akan mengeluarkan
buah yang lazat rasanya,
2b). Mukmin yang abid dan zahid pula diibaratkan sebagai orang yang membaja
dan menyiram pokok tersebut supaya ia bertambah subur.
Ada pula, dari
kalangan Mukmin, Allah s.w.t tentukan untuk mencintai-Nya. Cinta Allah adalah
sesuatu yang sangat sulit untuk dihuraikan. Terlalu sedikit para hamba yang
dipilih untuk memilikinya.
Golongan yang
sedikit itu adalah anbia dan aulia Allah s.w.t yang agung. Jika mahu memahami
maksud Cinta Allah, selamilah ucapan mereka yang sedang asyik dalam kecintaan
tersebut.
Pencinta Allah
s.w.t yang paling agung, Nabi Muhammad s.a.w mengucapkan:
“Sekiranya diletakkan matahari pada tangan kananku dan bulan pada tangan kiriku dengan menyuruh aku menghentikan dakwah yang aku lakukan, nescaya tidak akan aku berhenti, melainkan Allah s.w.t membinasakan daku atau memenangkan daku!”
“Tidak aku hiraukan walaupun sekalian makhluk-Mu memusuhi daku asalkan Engkau tidak murka kepadaku”.
Imbasan Cinta Allah
s.w.t hanya dapat dilihat daripada sabda Rasulullah s.a.w dan dari kalangan
umat baginda yang dipilih mewarisi Cinta tersebut.
Abu Bakar as-Syubli
membawa puntung kayu api kerana dia mahu membakar syurga dan Ka’abah agar Allah
s.w.t dicintai dengan sebenar-benarnya, bukan kerana syurga, dan agar manusia
benar-benar menghadap Allah s.w.t bukan terhenti pada Ka’abah.
Abu Yazid
al-Bustami menasihatkan, “Jika kebajikan
yang dikurniakan kepada Adam, kesucian malaikat Jibrail, kemuliaan Ibrahim,
rindu dendam Musa dan Cinta Muhammad s.a.w, dikurniakan kepada kamu, janganlah
kamu menyukainya kerana itu semua adalah hijab. Carilah Dia dari Dia sahaja,
maka yang lain itu semuanya kamu punya”.
Cinta Allah s.w.t
adalah pengalaman kerohanian yang sangat seni dan aneh. Para hamba yang
dikurniakan pengalaman tersebut telah terlebih dahulu melatihkan diri
berpuluh-puluh tahun lamanya. Mereka berjuang tanpa henti-henti menentang hawa
nafsu dan cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan akhirat.
Mereka mencarinya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap
Allah s.w.t. Orang yang mencintai Allah s.w.t ghaib dalam melihat
Allah s.w.t hinggakan tidak sedar lagi terhadap apa sahaja yang selain Allah
s.w.t. Fana dia dari dirinya dan sekalian alam maujud. Dia tidak dapat
membezakan antara sakit dengan senang, emas dengan tanah kering.
Orang yang dikuasai
oleh Cinta Allah s.w.t tidak berasa apa-apa walaupun kepalanya dipancung. Abu
Mansur al-Hallaj tersenyum dan ketawa bila dia disalib. Kemudian kaki dan
tangannya dipotong, matanya dicungkil, lidahnya dikerat dan akhirnya kepalanya
dipancung.
Cinta Allah s.w.t yang menguasainya menghilangkan ketakutan
dan kesakitan. Bila kakinya dipotong dia menyaksikan kaki
rohnya bebas berjalan menuju Tuhannya. Bila tangannya dipotong dia menyaksikan
tangan rohnya bebas mencapai Tuhannya. Bila matanya dicungkil dia menyaksikan
mata rohnya lebih terang memandang kepada Tuhannya. Bila lidahnya dikerat dia
menyaksikan lidah rohnya semakin petah berkata-kata dengan Tuhannya. Bila kepalanya dipancung dia merdeka
sepenuhnya untuk ‘bersanding’ dengan Tuhannya.
Jika diselami benar-benar akan didapati bahawa Cinta Allah s.w.t
sebenarnya tidak dimiliki oleh sesiapa pun tetapi Cinta Allah s.w.t itulah yang
menawan hati seseorang. Cinta Allah s.w.t itu menguasai bukan
dikuasai. Cinta Allah s.w.t menarik seseorang ke dalam kefanaan dari
dirinya dan segala-galanya lalu masuk ke dalam tauhid hakiki.
Syarat bagi seseorang untuk layak menanggung Cinta Allah s.w.t adalah
seandainya semua harta yang ada di dalam perut bumi dikeluarkan dan diberikan
kepadanya, dia menolak demi Wajah Allah s.w.t. Hati yang sanggup berbuat
demikian layak menerima Cinta Allah s.w.t. Orang yang benar-benar mabuk dalam
percintaan tidak ingat akan harta dan dunia.
Golongan pencinta
Allah s.w.t adalah tetamu Allah s.w.t yang dimuliakan. Mereka dihidangkan dengan
berbagai-bagai hidangan yang tidak pernah dinikmati oleh golongan lain.
Merekalah yang merasai buah dari pokok yang ditanam oleh golongan Mukmin dan
dijaga oleh golongan abid dan zahid. Daya
rasa mereka tidak lagi serupa dengan daya rasa manusia biasa.
Asma binti Abu
Bakar as-Siddik tatkala tuanya, mengalami satu peristiwa yang luar biasa.
Anaknya, Abdullah, telah dituduh sebagai pemberontak oleh pemerintah pada
ketika itu. Abdullah dijatuhkan hukuman bunuh. Mayatnya diheret dari lorong ke
lorong selama beberapa hari, dan mayat itu menjadi busuk. Apabila mayat itu
diheret di hadapan rumah Asma, yang pada ketika itu sudah tidak boleh melihat,
tercium bau yang sangat harum. Asma
bertanyakan mayat siapakah yang berbau harum itu. Dia diberitahu yang mayat itu
adalah mayat puteranya. Asma mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana
menjadikannya ibu kepada seorang pemuda yang salih.
No comments:
Post a Comment