113: ORANG ARIF BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T.
ORANG ARIF TIDAK LUPUT DARI RASA BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T DAN TIDAK
BERASA SENANG UNTUK BERSANDAR KEPADA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T.
Orang arif
mempunyai hati yang sangat halus dan adab sopan yang sangat tinggi terhadap
Allah s.w.t. Dia mengenali kurniaan dan kekuasaan Allah s.w.t pada nikmat
penciptaan dan nikmat kesinambungan kewujudan yang diciptakan Allah s.w.t. Dia
mengenali bahawa tiada satu detik pun makhluk terlepas dari pergantungan kepada
Allah s.w.t. Tidak ada satu makhluk yang tidak diheret oleh ketentuan Allah
s.w.t, sebagaimana firman-Nya:
Engkaulah sahaja
(Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah kami memohon
pertolongan. (Ayat 4 : Surah al-Faatihah)
Allah s.w.t sahaja
yang memiliki sifat-sifat ketuhanan yang menyebabkan sekalian makhluk berhajat
kepada-Nya tanpa ada pilihan lain, dan kepada-Nya juga ditujukan semua ibadat.
Apabila Dia menciptakan makhluk ditegakkan hukum ubudiyah kepada mereka. Dia
berfirman:
Kemudian Ia
menujukan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih
berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua
akan perintah-Ku, samada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab:
“Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”. (Ayat 11 :
Surah Fussilat)
Langit dan bumi
diciptakan oleh Allah s.w.t. Mereka dapat mendengar wahyu Allah s.w.t, dapat
menjawab dan berbuat taat kepada-Nya. Begitu juga hati para arifbillah. Mereka
sentiasa mendengar ucapan Allah s.w.t, membalas ucapan-Nya dan taat kepada-Nya.
Allah s.w.t berucap tanpa bahasa dan hati mendengar tanpa telinga dan menjawab
tanpa lisan. Begitulah hubungan hati para arifbillah. Mereka tidak lekang dari
sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada Allah s.w.t, memohon petunjuk
dari-Nya dan mentaati-Nya sepenuhnya. Tidak ada lagi hajat keperluan mereka
kepada makhluk.
Al-Quran
menceritakan sifat para hamba yang mengenal Allah s.w.t. Mereka sentiasa
menyatakan hajat dan pergantungan kepada-Nya. Mereka memohon pertolongan dan
perlindungan-Nya daripada musuh-musuh mereka.
Yusuf menjawab:
“Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya
Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang
zalim tidak akan berjaya”. (Ayat 23 : Surah Yusuf)
Dan (setelah
mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada
Allah Tuhanku dan Tuhan kamu - dari (angkara) tiap-tiap orang yang
sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!” (Ayat 27 :
Surah Mu’min)
Allah s.w.t
mengajarkan agar manusia mohon berlindung kepada-Nya daripada musuh-musuh
mereka terutamanya syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mengheret
manusia kepada kesesatan.
.
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete