97: PERJALANAN YANG HAKIKI.
KEPANTASAN YANG HAKIKI ADALAH ENGKAU LIPATKAN JARAK DUNIA DARI KAMU
SEHINGGA ENGKAU MELIHAT AKHIRAT LEBIH DEKAT KEPADA KAMU DARI DIRI KAMU SENDIRI.
Kepantasan
perjalanan yang dimaksudkan oleh Hikmat 97 ini bukanlah kepantasan perjalanan
tubuh badan. Memang ada orang yang boleh bergerak dari satu tempat ke tempat
yang lain di atas muka bumi ini dalam sekelip mata sahaja. Perjalanan yang
demikian dipanggil ‘terlipatnya bumi.’
Kebanyakan orang
cenderung untuk memiliki ilmu melipat bumi ini kerana menyangka kebolehan yang demikian
menjadi tanda kewalian seseorang. Perlu diingatkan bahawa kebolehan yang
demikian dimiliki juga oleh iblis sedangkan iblis adalah musuh Tuhan, bukan
wali-Nya. Jika berpegang kepada Sunah
Rasulullah s.a.w keramat zahir tidak dipentingkan.
Rasulullah s.a.w sendiri
sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah menggunakan kelajuan manusia biasa,
tidak kepantasan lipat bumi, padahal Rasulullah s.a.w adalah manusia yang
paling keramat, ketua sekalian wali. Rasulullah
s.a.w menggunakan jalan cermat, perlahan dan sukar, sesuai dengan sifat semula
jadi manusia. Perbuatan Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa kesabaran
menghadapi perjalanan yang sukar itulah yang sebenarnya kekeramatan, bukan
perjalanan sepantas kilat.
Kepantasan hakiki
yang mampu melipat jarak dunia bukanlah kepantasan tubuh badan bergerak dalam
dunia. Ia adalah perjalanan kerohanian ketika bertemu sesuatu dan menghadapi
sebarang kejadian. Ke manakah kerohaniannya pergi ketika itu? Orang yang
memperturutkan pandangan nafsunya, tempat jatuhnya adalah zahirnya alam dan
sebab musabab.
Tetapi, orang yang melihat dengan pandangan hatinya akan melihat kepada
batinnya alam. Dia melihat ketuhanan dalam segala sesuatu. Sebaik sahaja dia berhadapan dengan sesuatu
perkara serta-merta pandangan hatinya tertuju kepada Allah s.w.t yang
menerbitkan segala perkara, hinggakan tidak sempat memerhatikan benda-benda
alam dan hukum sebab musabab.
Pandangan
hati yang segera memerhatikan Allah s.w.t dalam segala perkara itu dinamakan kepantasan
hakiki.
- Tipu
daya dunia tidak sempat menyambar perhatian hatinya.
- Ego
dirinya juga tidak sempat bertunas.
- Perhatiannya
tertuju kepada keabadian, tidak kepada dunia dan dirinya yang bersifat
sementara.
- Kurniaan
Allah s.w.t yang menyelamatkan hamba-Nya dari tarikan dunia dan ego
dirinya adalah kekeramatan yang sebenar.
.
No comments:
Post a Comment