75: KURNIAAN YANG MENJADI ISTIDRAJ.
TAKUTLAH KAMU TERHADAP KURNIAAN ALLAH S.W.T YANG SELALU KAMU PEROLEHI
SEDANGKAN KAMU MELANGGAR PERINTAH-NYA, JANGAN SAMPAI KURNIAAN ITU SEMATA-MATA
ISTIDRAJ.
(FIRMAN ALLAH S.W.T DALAM SURAH AL-A’RAF, AYAT 182): KAMI AKAN BINASAKAN
MEREKA PERLAHAN-LAHAN DENGAN JALAN YANG MEREKA TIDAK SEDAR.
Orang kafir,
musyrik, ahli maksiat, orang zalim dan lain-lain seumpama mereka, dalam
kehidupan dunia ini selalu mendapat berbagai-bagai kemewahan. Merekalah yang
memiliki sebahagian besar kekayaan dunia. Mereka juga memiliki ilmu pengetahuan
yang menjadikan mereka kuasa besar di dunia. Mereka juga menguasai
bidang-bidang sukan, muzik, kesenian dan lain-lain.
Kumpulan manusia
yang beriman pula terdiri daripada mereka yang lemah, tidak berpendidikan
tinggi dan berkedudukan rendah dalam masyarakat. Kemewahan dan kesenangan yang
dimiliki oleh mereka yang tidak beriman dan ahli maksiat mempesonakan
sebahagian orang-orang Islam yang lemah imam.
Mereka tidak dapat
membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dan kurniaan yang telah dicabut
nikmat daripadanya. Hikmat 75 ini menghuraikan perkara berkaitan kurniaan yang
tidak mengandungi nikmat, yang dinamakan istidraj.
Istidraj bermakna kurniaan yang dihulur terus menerus kepada
ahli maksiat. Kurniaan yang seperti ini membuat ahli
maksiat bertambah lalai dan bertambah derhaka kepada Allah s.w.t. Apabila
kelalaian dan kederhakaan mereka telah melampaui batas maka Allah s.w.t
mendatangkan bala yang besar kepada mereka.
Mereka adalah
umpama orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka menganggap
pengangkatan itu sebagai satu kemuliaan namun, setelah mereka berada di tempat
yang tinggi itu mereka dicampakkan ke bawah.
Kejatuhan yang
demikian memberi kesakitan yang lebih kuat. Allah s.w.t berfirman:
Kemudian apabila
mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan
kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila
mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada
mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang
membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang
pertolongan). (Ayat 44 : Surah al-An’aam)
Ayat di atas
memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus
menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah
s.w.t, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun
melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan
penderitaan yang amat sangat. Waspadalah!
Allah s.w.t
sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa
bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu
kembali kepada Allah s.w.t dengan merendahkan diri.
Di dalam tempoh
kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan
Allah s.w.t. Kemudian Allah s.w.t gantikan kemelaratan dengan kesenangan
sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang
pura-pura. Bila kesenangan sudah
dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan
dan kemunkaran.
Mereka memberi
alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang
pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal
beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah s.w.t. Mereka kembali lalai dalam
arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan
kebinasaan kepada mereka.
Dan Kami tidak
mengutus dalam sesebuah negeri seorang nabi (yang didustakan oleh penduduknya),
melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan
penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf). Setelah
(mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga
mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya):
“Sesungguhnya nenek
moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita
rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut,
dan mereka tidak menyedarinya. (Ayat 94 & 95 : Surah al-A’raaf)
Apabila seksaan dan
kebinasaan dari Allah s.w.t datang, tidak ada siapa dapat menghalangnya dan
tidak ada siapa mampu menanggungnya. Orang yang menerimanya menjadi bingung, tidak
tahu berbuat apa-apa.
(Mereka tidak
diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada
mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka tidak
akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat. (Ayat 40
: Surah al-Anbiyaa’)
Sudah banyak
kaum-kaum yang dibinasakan Allah s.w.t melalui saluran istidraj. Firaun dan
Namrud diberi tempuh yang panjang hidup di dalam kesenangan, kemewahan dan
keseronokan. Kemudian Tuhan datangkan azab dengan tiba-tiba. Firaun dibinasakan
di dalam laut dan Namrud dibinasakan oleh nyamuk. Qarun juga binasa ketika
asyik dengan kekayaan. Begitu juga dengan kaum-kaum Nabi-nabi Nuh dan Luth.
No comments:
Post a Comment