123: WARID DAN NUR ILAHI.
KURNIAAN ALLAH S.W.T BERSESUAIAN DENGAN PERSIAPAN UNTUK MENERIMANYA
TETAPI PANCARAN NUR ILAHI BERSESUAIAN DENGAN SIFAT RAHSIA HATI (SIR).
Wirid berfungsi mempersiapkan seseorang agar berada dalam keadaan sesuai dan mampu menerima dan menanggung kedatangan kurniaan Allah s.w.t. Kadang-kadang kurniaan Allah s.w.t datang kepada seseorang hamba tetapi kurniaan itu tidak menetap, kerana orang itu tidak mampu menanggungnya.
Diri seseorang
adalah umpama bekas yang boleh diisi dengan apa yang boleh diterimanya. Oleh
yang demikian seseorang itu haruslah melengkapkan dan memperkuatkan dirinya
supaya sesuatu kurniaan Allah s.w.t yang datang kepadanya tidak mengalir keluar
atau dia tidak berdaya menanggungnya. Kurniaan
Allah s.w.t yang berupa kebaikan tidak semestinya boleh ditanggung oleh semua
orang.
Perkara yang sama
juga boleh berlaku kepada kurniaan duniawi. Ada orang yang menemui kebinasaan
kerana mereka menerima kekayaan dan kekuasaan ketika mereka tidak bersedia
menerimanya. Dalam bidang kerohanian pula ada orang yang hilang kewarasannya
apabila dibukakan tabir ghaib. Mereka tidak mampu bertahan menerima gangguan
makhluk halus. Jalan yang selamat bagi seseorang adalah mempersiapkan dirinya
agar dia selamat daripada tarikan tipu daya dalam alam rohani yang dia tidak
mengerti.
Amal ibadat atau
wirid hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. Jangan dicari
kekeramatan dan khadam. Orang yang
menyelitkan hajat kepada sesuatu selain Allah s.w.t, mudah terjerumus ke dalam
kebinasaan. Apa sahaja yang dihajati mempunyai tarikan kepada hati. Semakin
besar hajat semakin kuat tarikannya.
Hajat itu menjadi hijab menutup hati. Ini membuatnya
tidak mengenali makhluk rohani yang datang kepadanya dengan rupa yang
elok-elok. Jika kedatangan makhluk rohani tersebut berbetulan ketika dia
mendapat sesuatu kelebihan, maka akan timbullah pergantungannya kepada makhluk
rohani tersebut. Bertambahlah kesukarannya untuk mendapatkan tauhid yang sejati.
Seseorang yang mahu
sampai kepada Allah s.w.t disyaratkan melalui jalan yang menghancur leburkan
hawa nafsu, kehendak dan tujuan kepada segala-galanya selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t maksud dan tujuan.
Hanya keredaan-Nya yang dicari. Jalan ini penuh dengan perjuangan atau
mujahadah, memutuskan rantai-rantai duniawi dan nafsu, menyingkap tabir asbab,
mengenderai tajrid, berserah bulat kepada Allah s.w.t dengan membuang ikhtiar
memilih dan reda dengan apa sahaja lakuan Allah s.w.t kepada dirinya.
Diri atau an-nafs mesti disuci-bersihkan
agar ia terlepas daripada pengaruh ‘adam dan masuk ke dalam suasana Sirr
(rahsia hati) Bertambah murni an-nafs bertambah menyerlah sirnya. Sirr menerima
pancaran Nur Ilahi.
Sirr yang menerima
pancaran Nur Ilahi akan menerangi an-nafs (nafsu natiqah) dan seterusnya
menerangi kalbu (hati). Terang atau malap sinaran Nur Ilahi yang diterima oleh
hati bergantung kepada sifat Sirr atau Rahsia hatinya. Sirr yang kuat akan
memancarkan cahaya yang kuat dan hati menjadi sangat terang. Apabila hati
menjadi terang benderang oleh sinaran Nur Ilahi, ia tidak dapat lagi
diperdayakan.
Cahaya Nur Ilahi
melahirkan apa yang asli. Rupa, bentuk dan warna tidak dapat menyembunyikan
keaslian sesuatu. Hati akan mengenali syaitan walaupun ia datang dalam rupa
yang cantik. Hati akan mengenali malaikat walaupun ia datang tanpa rupa.
Pengenalan sebenar hanya diperolehi dengan bantuan Nur Ilahi. Tanpa Nur Ilahi tidak
mungkin mencapai makrifat.
Nur Ilahi tidak menyampaikan cahayanya jika Sirr
dibungkus oleh kekotoran nafsu. Nafsu hendaklah dimurnikan agar ia kembali
kepada keasliannya yang dipanggil nafsu muthmainnah, baharulah diperolehi
ketenteraman yang sejati bila nur makrifat menyelimutinya. Insan yang sampai
kepada peringkat ini berjalan dengan petunjuk dan tarikan Nur Ilahi. Dia tidak lagi
bersandar kepada amalnya, ilmunya, malaikat dan makhluk rohani. Sinaran
kesucian Sirr yang membimbingnya, dan menjadikannya insan berpangkat hamba
Tuhan.
Assalammualaikum. Jutaan terima kasih buat penulis yang menuis buku ini.. Saya mohon izin menggunakan bahan ini atas kelangsungan ketika saya berguru pada ketika kuliah maghrib. Sangat membantu sebagai sumber rujukan. InsyaAllah saya cuba mendapatkan bukunya.
ReplyDelete