76: MURID YANG TERPEDAYA.
SEBAHAGIAN DARI KEJAHILAN MURID IALAH : BURUK ADABNYA TETAPI BALASAN KE
ATASNYA DIPERLAMBATKAN LALU DIA MENYANGKA SEKIRANYA ADABNYA ADALAH JELIK TENTU
ALLAH S.W.T SUDAH MEMUTUSKAN BANTUAN DAN PASTI DIA AKAN DIJAUHKAN.
KETAHUILAH! ADAKALANYA KURNIAAN TELAH DIPUTUSKAN TETAPI SI MURID TIDAK
MENYEDARINYA. SEKIRANYA TIDAK ADA KURNIAAN BAHARU ITU PUN MERUPAKAN PUTUS
BANTUAN. ADA KALANYA DIA SUDAH DIJAUHKAN TETAPI DIA TIDAK MENYEDARINYA,
MESKIPUN HANYA DIJAUHKAN DENGAN CARA MEMBIARKANNYA MENURUT SANGKAANNYA.
Hikmat 75
menceritakan tentang istidraj yang dialami oleh orang yang lalai daripada
peringatan Allah s.w.t, Hikmat 76 ini pula mengingatkan murid yang
berjalan pada jalan kerohanian supaya gejala istidraj itu tidak menimpanya
ketika dalam perjalanan.
Bagi orang awam
tidak bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t boleh menyebabkan tersingkirnya
rasa nikmat yang mengiringi kurniaan itu.
Bagi orang Mukmin
di samping bersyukur adalah penting baginya memelihara adab sopan bersama-sama
Allah s.w.t. Mungkin saranan supaya beradab sopan bersama-sama Allah s.w.t
bunyinya janggal bagi orang awam, tetapi bagi mereka yang mendekati Allah
s.w.t, mereka dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t pada setiap masa dan di
mana sahaja.
Apabila seseorang itu meyakini bahawa Allah s.w.t sentiasa
bersama-samanya walau di mana dia berada, Allah s.w.t mendengar pertuturannya
dan bisikan hatinya maka dia berkewajipan memelihara adab sopan sebagai hamba
yang berdiri di hadapan Tuannya.
Bertambah hampir seseorang dengan Allah s.w.t bertambah pula
tuntutan adab sopan ke atasnya. Perjalanan menuju Allah s.w.t
bukanlah perjalanan mencari kemuliaan sama ada kemuliaan duniawi atau ukhrawi. Perjalanan
ini adalah tindakan menghinakan diri di hadapan Allah s.w.t, kerana hina,
lemah dan jahil adalah sifat makhluk, hanya Allah jua Yang Mulia, Yang Berkuasa
dan Yang Mengetahui. Sekalian
makhluk berkehendak kepada-Nya dan Dia Maha Kaya, tidak berkehendak kepada
sesuatu apa pun.
Adab sopan yang
paling utama dijaga adalah yang menyentuh keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah
Tuhan sekalian alam, Maha Bijaksana dan Maha Mengerti dalam urusan mentadbir
dan menguruskan penghidupan sekalian makhluk yang dicipta-Nya. Seorang hamba hendaklah yakin kepada
kebijaksanaan Tuannya. Terserah kepada Tuannya memilih layanan yang hendak
diberikan kepada si hamba itu.
Ibrahim bin Adham telah menceritakan kisah beliau membeli seorang hamba.
Berikut adalah percakapannya dengan hamba yang dibelinya itu: Ibrahim : “ Siapakah nama kamu?” Hamba : “ Panggil sahaja dengan nama apa yang tuan suka”. Ibrahim : “ Apa yang kamu ingin makan?” Hamba : “ Apa sahaja makanan yang tuan beri”. Ibrahim : “ Apakah pakaian yang kamu perlukan?” Hamba : “ Apa sahaja pakaian yang tuan mahu berikan”. Ibrahim : “ Apa pekerjaan yang kamu hendak buat?” Hamba : “ Apa sahaja pekerjaan yang tuan perintahkan”. Ibrahim : “ Apakah kehendak kamu?” Hamba : “Apa kehendak tuan itulah kehendak hamba Seorang hamba tidak berkehendak kecuali apa yang dikehendaki oleh tuannya”.
Ibrahim bin Adham
berfikir, sekiranya dia hamba Allah s.w.t tentu dia menyerah sepenuhnya kepada
Allah s.w.t. Beginilah adab sopan
seorang hamba Allah s.w.t dengan Allah s.w.t. Seorang yang mengaku sebagai
hamba Allah s.w.t tidak seharusnya membeberkan hajat keperluannya.
Bukankah Allah Maha Mengerti dalam mengatur keperluan hamba-Nya. Seorang hamba berdiri di hadapan Tuannya
tanpa mengemukakan tuntutan, tanpa sebarang kehendak, cita-cita dan alasan.
Reda dengan lakuan Tuannya itulah sifat hamba yang sejati.
Seorang murid yang
sedang dalam perjalanan masih belum teguh sifat redanya terhadap takdir Allah
s.w.t, lantaran itu dia cenderung untuk membeberkan hajatnya kepada Allah
s.w.t, seolah-olah Allah s.w.t tidak melihat keadaannya. Banyaklah
permintaannya kepada Allah s.w.t.
Dia mungkin meminta Allah s.w.t melepaskannya dari sesuatu yang tidak
disenanginya tanpa berfikir bahawa yang tidak disenanginya itu mungkin mendatangkan
kebaikan baginya. Dia mungkin meminta didekatkan kepada Allah s.w.t
kerana dia merasakan dia sudah layak didekatkan. Dia mungkin meminta
kekeramatan agar orang ramai mengakui kebenarannya. Tuntutan-tuntutan yang
demikian menunjukkan tiada sopan santun seorang hamba kepada Tuannya,
iaitu Allah s.w.t yang sempurna pengertian-Nya dan sempurna pembahagian-Nya.
Walaupun si hamba
itu telah tidak bersopan di hadapan Allah s.w.t, mungkin dia tidak dihukumkan
dengan serta-merta. Ini membuat si
hamba tadi menyangka bahawa tiada salah pada adabnya. Ini menandakan
kejahilannya.. Dia tidak sedar bahawa kurang beradab sopan itu sudah merupakan
balasan terhadapnya. Lebih buruk lagi dia tidak dikurniakan pengalaman
kerohanian yang lebih mendalam. Apabila dia memutuskan penyerahan terhadap
Allah s.w.t, putus juga perjalanannya mendekati Allah s.w.t.
Tetapi dia masih
menyangkakan yang dia terus mendekati Allah s.w.t. Apabila dia dibiarkan
menurut sangkaannya itu bermakna dia dijauhkan tanpa dia menyedarinya. Begitulah
hebatnya akibat tidak menjaga adab sopan dengan Allah s.w.t. Jika seorang murid
tidak mahu putus kesopanannya dengan Allah s.w.t maka hendaklah dia mendekati
Allah s.w.t dengan kesabaran. Pintu kesabaran adalah pintu yang paling
hampir untuk masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Senjata yang paling kuat
mempertajamkan kesabaran ialah ucapan:
“ WAHAI TUHANKU. ENGKAU BERBUAT SESUATU SEBAGAIMANA ENGKAU KEHENDAKI”.
Dalam perkara adab
sopan bersama-sama Allah s.w.t ini termasuk juga adab sopan terhadap Rasul-rasul-Nya,
Malaikat-malaikat-Nya dan Kitab-kitab-Nya.
Imam as-Syafi’e
dalam menghuraikan Hadis yang bermaksud “Sekiranya Fatimah binti Muhammad
mencuri nescaya dipotong tangannya”,
dibaca oleh Imam
as-Syafi’e,
“Sekiranya
perempuan yang mulia anak kepada lelaki yang mulia itu mencuri nescaya dipotong
tangannya”.
Begitulah halusnya
sopan santun Imam as-Syafi’e, sehingga
beliau enggan menyebut ibarat yang boleh menunjukkan kecacatan terhadap
Rasulullah s.a.w dan puteri baginda yang mulia itu.
Orang-orang Islam
yang beradab sopan tidak memperkaitkan Rasulullah s.a.w dengan Abu Lahab, tidak membesarkan perkara yang tidak
elok yang berlaku di Makkah, tidak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk, tidak
membacanya di tempat membuang air, tidak membuang najis dengan menghadap ke
kiblat dan banyak lagi perkara yang termasuk dalam adab sopan beragama yang
menjadi kewajipan bagi orang yang mengaku beragama Islam menjaganya. Jangan
memandangnya sebagai perkara yang remeh-temeh kerana setiap raja mempunyai
peraturan atau taman larangan, dan peraturan atau taman larangan Tuhan ialah
adab sopan dalam majlis-Nya.
No comments:
Post a Comment