81: AKHIRAT TEMPAT PEMBALASAN BAGI HAMBA-HAMBA YANG MUKMIN.
SESUNGGUHNYA DIJADIKAN NEGERI AKHIRAT SEBAGAI TEMPAT PEMBALASAN BAGI
HAMBA-HAMBA-NYA YANG BERIMAN KERANA NEGERI INI (DUNIA) TIDAK CUKUP LUAS (BAGI
MENAMPUNG) APA YANG ALLAH S.W.T HENDAK BERIKAN KEPADA MEREKA.
BAHAWASANYA DIGANDAKAN SEGALA KADAR (PEMBALASAN) MEREKA, JAUH DARI
PEMBALASAN TERHADAP MEREKA YANG DI DALAM NEGERI YANG TIDAK KEKAL INI.
Dunia dan manusia
ditentukan dengan ajal. Ajal bagi manusia adalah maut, dan ajal bagi dunia
adalah kiamat. Umat manusia yang terdahulu hidup sehingga melebihi seribu
tahun. Umat Nabi Muhammad s.a.w hidup sekitar enam puluh tahun sahaja.
Apabila maut datang
berakhirlah kehidupannya di dunia. Apa sahaja yang dimilikinya berpisah
daripadanya. Jasadnya dihantar ke dalam tanah, dan hartanya kepada
waris-warisnya.
Kemuliaan, kekuasaan,
kesayangan, kebencian, kehinaan dan segala-galanya ditinggalkannya. Keluarlah
roh dari dunia dan ditunggunya pula ketibaan ajal dunia. Berapa juta tahun
dunia boleh hidup tiada sesiapa mengetahuinya melainkan Allah s.w.t, yang pasti
dunia juga pasti ‘mati’ satu ketika nanti.
Masa kematiannya
mungkin sudah hampir. Nabi akhir zaman sudah diutuskan lebih seribu empat ratus
tahun yang lalu. Nikmat Allah s.w.t telah disempurnakan. Agama Allah telah
diperlengkapkan. Apa sahaja yang harus diberikan kepada dunia telah diberikan.
Tidak ada lagi yang tinggal.
Jika dunia
diistilahkan sebagai bernafas, maka semua nafasnya telah pun digunakannya,
hanya tinggal nafas yang di dalam simpanan yang digunakan sekarang.
Demi masa (waktu asar)! (Ayat 1 : Surah al-‘Asr)
Waktu telah asar.
Matahari telah condong ke barat, hanya beberapa ketika sahaja lagi ia akan
terbenam. Sebentar lagi cahaya alam akan dicabut dan tinggallah dunia dalam
kegelapan. Muazzin menyambut ketibaan waktu asar dengan memberikan peringatan
kepada manusia:
Demi masa!
Sesungguhnya manusia dalam kerugian - kecuali orang-orang yang beriman dan
beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan
dengan kesabaran. (Ayat 1 – 3 : Surah al-‘Asr)
Dunia mengasingkan
manusia kepada dua golongan.
1). Pertama adalah
yang beriman dan beramal salih serta mengajak kepada kebenaran dan kesabaran.
2). Kedua adalah
yang kufur dan menolak kebenaran.
Dunia menjadi penjara kepada yang beriman dan menjadi syurga kepada yang
kufur. Rasulullah s.a.w bersabda:
DUNIA INI PENJARA BAGI ORANG MUKMIN DAN SYURGA BAGI ORANG KAFIR.
Syurga adalah
kelazatan dan kesenangan yang menjadi balasan kepada perbuatan baik. Orang
kafir yang berbuat kebaikan menerima balasan kebaikan ketika mereka masih di
dunia. Allah s.w.t memberi balasan lebih banyak dari kebaikan yang hamba-Nya
lakukan agar mereka tidak boleh merungut tentang balasan yang mereka terima.
Dunia ini tidak ada
nilainya di sisi Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa dunia
ini pada sisi Allah s.w.t nilainya tidak melebihi sebelah sayap nyamuk.
Andainya dunia ini ada harga bagi Allah s.w.t nescaya tidak diizinkan
orang kafir merasa walau seteguk air. Oleh
sebab dunia ini tidak berharga maka ia dihamburkan kepada orang-orang kafir
seluas-luasnya supaya mereka berasa puas menerima imbuhan bagi penat lelah dan
usaha mereka, dan tidak ada lagi tanggungan balasan yang tinggal buat mereka
apabila mereka meninggalkan dunia ini.
Di akhirat kelak
mereka tidak boleh lagi membuat tuntutan terhadap kebaikan yang mereka lakukan
semasa di dunia. Segala hutang telah dibayar oleh Allah s.w.t ketika mereka
masih hidup.
Orang yang tidak
beriman berbuat kebaikan dengan menggunakan keupayaan jasmaninya, sementara
orang yang beriman menggunakan keupayaan rohaninya. Kebaikan yang lahir dari
keupayaan jasmani hanya mampu disebarkan kepada ruang yang sempit, oleh sebab
itu ruang yang sempit juga diperlukan untuk diisi balasan untuknya.
Ruang yang ada di alam dunia ini sudah cukup luas untuk diisikan dengan
pembalasan terhadap kebaikan-kebaikan jasmani. Rohani pula mampu
merentasi daerah yang lebih luas. Semakin kuat rohani seseorang semakin luas
daerah yang boleh diterokainya. Manusia yang memiliki rohani yang paling
kuat adalah Nabi Muhammad s.a.w dan keupayaan rohani baginda s.a.w
diceritakan oleh Allah s.w.t dengan firman-Nya:
Dan tiadalah Kami
mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi
sekalian alam. (Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’)
Keupayaan rohani
Rasulullah s.a.w mampu meliputi seluruh alam, menabur rahmat kepada semua
zaman, semua ruang serta sekalian isi alam. Tidak ada satu juzuk pun dari alam yang tidak berteduh di bawah payung
rahmat rohani Rasulullah s.a.w.
Berbeza daripada
keupayaan jasmani baginda s.a.w yang hanya berdakwah selama lebih kurang dua
puluh dua tahun sahaja. Begitulah besarnya perbezaan antara keupayaan rohani
dengan keupayaan jasmani.
Oleh itu nilai
kebaikan yang dilakukan masing-masing juga berbeza. Oleh sebab besarnya
kebaikan yang bersangkutan dengan rohani maka ruang yang diperlukan untuk
mengisi balasan baginya juga besar.
Ruang yang ada di
alam dunia ini tidak cukup luas untuk diisikan dengan balasan tersebut,
lebih-lebih lagi balasan untuk kebaikan digandakan oleh Allah Yang Maha Pemurah.
Dunia ini selain
ruangnya sempit ia juga hina di sisi Allah s.w.t, sedangkan balasan kebaikan
untuk orang yang beriman sangat mulia dan tinggi nilainya.
Jika balasan yang
mulia itu diisi ke dalam bekas yang kotor, maka kekotoran bekas itu akan bercampur
dengan kemuliaan balasan itu yang menyebabkan kecacatan pada balasan tersebut.
Untuk mengelakkan
sesuatu yang baik lagi mulia daripada terjejas, disediakan Allah s.w.t kepada
orang yang beriman tempat yang mulia, dan orang Mukmin itu akan dijemput dengan
penuh kemuliaan untuk mendapatkan bahagiannya yang mulia di tempat yang mulia.
Apa yang akan
diperolehinya nanti akan kekal bersama-samanya, tidak seperti balasan dunia
yang bersifat sementara.
Bismillahirrohmaanirrohiim Mohon share moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete