10: IKHLAS ADALAH ROH IBADAT.
AMALAN ZAHIR ADALAH KERANGKA SEDANGKAN ROHNYA ADALAH IKHLAS YANG
TERDAPAT DENGAN TERSEMBUNYI DALAM AMALAN ITU.
Amal lahiriah
digambarkan sebagai batang tubuh dan ikhlas pula digambarkan sebagai nyawa yang
menghidupkan batang tubuh itu. Sekiranya kita kurang mendapat kesan yang baik
daripada latihan kerohanian hendaklah kita merenung dengan mendalam tubuh amal
apakah ia bernyawa atau tidak.
Hikmat 10 ini
menghubungkan amal dengan ikhlas. Hikmat 9 yang lalu telah menghubungkan
amal dengan hal. Kedua-dua Kalam Hikmat ini membina jambatan yang menghubungkan
hal dengan ikhlas, kedua-duanya ada kaitan dengan hati, atau lebih tepat jika
dikatakan ikhlas sebagai suasana hati dan hal sebagai Nur Ilahi yang menyinari
hati yang ikhlas.
Ikhlas menjadi
persediaan yang penting bagi hati menyambut kedatangan sinaran Nur Ilahi.
Apabila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya maka
dipancarkan Nur-Nya kepada hati hamba tersebut. Nur yang dipancar kepada hati
ini dinamakan Nur Sir atau Nur Rahsia Allah s.w.t.
Hati yang diterangi
oleh nur akan merasai hal ketuhanan atau mendapat tanda-tanda tentang Tuhan.
Setelah mendapat pertandaan dari Tuhan maka hati pun mengenal Tuhan. Hati yang memiliki ciri atau sifat begini
dikatakan hati yang mempunyai ikhlas tingkat tertinggi. Tuhan berfirman
bagi menggambarkan ikhlas dan hubungannya dengan makrifat:
Dan sebenarnya
perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin
timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan
Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami), untuk
menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan yang keji,
kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala
dosa. ( Ayat 24 : Surah Yusuf )
Nabi Yusuf a.s
adalah hamba Allah s.w.t yang ikhlas. Hamba yang ikhlas berada dalam
pemeliharaan Allah s.w.t. Apabila dia dirangsang untuk melakukan kejahatan dan
kekotoran, Nur Rahsia Allah s.w.t akan memancar di dalam hatinya sehingga dia
menyaksikan dengan jelas akan tanda-tanda Allah s.w.t dan sekaligus meleburkan
rangsangan jahat tadi.
Inilah tingkat
ikhlas yang tertinggi yang dimiliki oleh orang arif dan hampir dengan Allah
s.w.t. Mata hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, tidak pada dirinya
dan perbuatannya. Orang yang berada
di dalam makam ikhlas yang tertinggi ini sentiasa dalam keredaan Allah s.w.t
baik semasa beramal ataupun semasa diam. Allah s.w.t sendiri yang
memeliharanya. Allah s.w.t mengajarkan agar hamba-Nya berhubung dengan-Nya
dalam keadaan ikhlas.
Dia Yang Tetap
Hidup; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah
kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam. (Ayat 65 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t jua
Yang Hidup. Dia yang memiliki segala kehidupan. Dia jualah Tuhan sekalian alam.
Apa sahaja yang ada dalam alam ini adalah ciptaan-Nya. Apa sahaja yang hidup
adalah diperhidupkan oleh-Nya. Jalan dari Allah s.w.t adalah nikmat dan
kurniaan sementara jalan dari hamba kepada-Nya pula adalah ikhlas. Hamba
dituntut supaya mengikhlaskan segala aspek kehidupan untuk-Nya. Dalam melaksanakan tuntutan mengikhlaskan
kehidupan untuk Allah s.w.t ini hamba tidak boleh berasa takut dan gentar
kepada sesama makhluk.
Oleh itu maka
sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi
bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan yang
demikian). ( Ayat 14 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t telah menetapkan kod etika kehidupan yang perlu dijunjung,
dihayati, diamalkan, disebarkan dan diperjuangkan oleh kaum muslimin dengan
sepenuh jiwa raga dalam keadaan ikhlas kerana Allah s.w.t, meskipun ada
orang-orang yang tidak suka, orang-orang yang menghina, orang-orang yang
membangkang dan mengadakan perlawanan. Keikhlasan yang
diperjuangkan dalam kehidupan dunia ini akan dibawa bersama apabila menemui
Tuhan kelak.
Katakanlah:
“Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya
kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap
kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama
kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada
mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya)”. ( Ayat 29 :
Surah al-A’raaf )
Sekali pun sukar
mencapai peringkat ikhlas yang tertinggi namun, haruslah diusahakan agar
diperolehi keadaan hati yang ikhlas dalam segala perbuatan sama ada yang lahir
mahu pun yang batin. Orang yang telah
tumbuh di dalam hatinya rasa kasihkan Allah s.w.t akan berusaha membentuk hati
yang ikhlas. Mata hatinya melihat
bahawa Allah jualah Tuhan Yang Maha Agung dan dirinya hanyalah hamba yang hina.
Hamba berkewajipan tunduk, patuh dan taat kepada Tuhannya.
Orang yang di dalam makam ini beramal kerana Allah s.w.t: kerana Allah
s.w.t yang memerintahkan supaya beramal, kerana Allah s.w.t berhak ditaati,
kerana perintah Allah s.w.t wajib dilaksana, semuanya kerana Allah s.w.t tidak
kerana sesuatu yang lain. Golongan ini sudah dapat menawan hawa
nafsu yang rendah dan pesona dunia tetapi dia masih melihat dirinya di samping
Allah s.w.t. Dia masih melihat dirinya yang melakukan amal. Dia gembira kerana
menjadi hamba Allah s.w.t yang beramal kerana Allah s.w.t. Sifat kemanusiaan
biasa masih mempengaruhi hatinya.
Setelah
kerohaniannya meningkat hatinya dikuasai sepenuhnya oleh lakuan Allah s.w.t, menjadi orang arif yang tidak lagi
melihat kepada dirinya dan amalnya tetapi melihat Allah s.w.t, Sifat-sifat-Nya
dan perbuatan-Nya.
Apa sahaja yang ada dengannya adalah anugerah Allah s.w.t. Sabar, reda,
tawakal dan ikhlas yang ada dengannya semuanya merupakan anugerah Allah s.w.t,
bukan amal yang lahir dari kekuatan dirinya.
Tingkat ikhlas yang paling rendah ialah apabila
amal perbuatan bersih daripada riak yang jelas dan samar tetapi masih terikat dengan keinginan kepada pahala yang
dijanjikan Allah s.w.t. Ikhlas
seperti ini dimiliki oleh orang yang masih kuat bersandar kepada amal, iaitu
hamba yang mentaati Tuannya kerana mengharapkan upah daripada Tuannya
itu.
Di bawah daripada
tingkatan ini tidak dinamakan ikhlas lagi. Tanpa ikhlas seseorang beramal
kerana sesuatu muslihat keduniaan, mahu dipuji, mahu menutup kejahatannya agar
orang percaya kepadanya dan bermacam-macam lagi muslihat yang rendah.
Orang dari golongan
ini walaupun banyak melakukan amalan namun, amalan mereka adalah umpama tubuh
yang tidak bernyawa, tidak dapat menolong tuannya dan di hadapan Tuhan nanti
akan menjadi debu yang tidak mensyafaatkan orang yang melakukannya. Setiap
orang yang beriman kepada Allah s.w.t mestilah mengusahakan ikhlas pada
amalannya kerana tanpa ikhlas syiriklah yang menyertai amalan tersebut,
sebanyak ketiadaan ikhlas itu.
(Amalkanlah
perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak
mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya. (Ayat 31 : Surah al-Hajj)
“Serta (diwajibkan
kepadaku): ‘Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan
perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi
dari orang-orang musyrik’”.
Dan janganlah
engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak
dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan tidak juga dapat mendatangkan mudarat
kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat
itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri
sendiri dengan perbuatan syirik itu). ( Ayat 105 & 106 : Surah Yunus )
Daging dan darah
binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah,
tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa
dari kamu. (Ayat 37 : Surah al-Hajj )
Allah s.w.t menyeru
sekaligus supaya berbuat ikhlas dan tidak berbuat syirik. Ikhlas adalah lawan kepada syirik. Jika sesuatu amal itu
dilakukan dengan anggapan bahawa ada makhluk yang berkuasa mendatangkan manfaat
atau mudarat, maka tidak ada ikhlas pada amal tersebut. Bila tidak ada
ikhlas akan adalah syirik iaitu sesuatu atau seseorang yang kepadanya amal itu
ditujukan.
Orang yang beramal tanpa ikhlas itu dipanggil orang yang
zalim, walaupun pada zahirnya dia tidak menzalimi sesiapa.
SubhanaLLoh walhamduliLLah
ReplyDelete