29: PERMINTAAN DAN KEDUDUKAN.
PERMINTAAN DARIPADA-NYA MENUNJUKKAN KURANG PERCAYAMU KEPADA-NYA.
PERMINTAAN KEPADA-NYA MENUNJUKKAN KAMU TIDAK MELIHAT-NYA. PERMINTAAN
KEPADA LAINNYA MENUNJUKKAN SEDIKIT MALU TERHADAP-NYA. PERMINTAAN DARI LAINNYA
MENUNJUKKAN JAUHNYA KAMU DARIPADA-NYA.
Hikmat 29 ini
adalah umpama alat untuk menilai diri sendiri. Perhatikan kecenderungan kita
dalam mengajukan permintaan. Jika kita cenderung meminta dari lain-Nya,
kita ajukan permintaan kepada sesama makhluk, itu tanda hati kita berpaling
jauh daripada Allah s.w.t. Hati kita merasakan seolah-olah makhluk memiliki
kuasa penentu sehingga hati kita tidak dapat melihat kepada kekuasaan Tuhan.
Cermin hati kita
dibaluti oleh awan gelap yang mengandungi gambar-gambar benda alam, tuntutan
syahwat, permainan hawa nafsu yang melalaikan dan tumpukan dosa yang tidak
dibersihkan dengan taubat. Hati yang mengalami keadaan begini dinamakan nafsu
ammarah.
Ammarah bukan
sahaja menyerang orang jahil, orang alim dan ahli ibadat juga boleh menerima
serangannya dan mungkin tewas kepadanya. Agar orang alim tidak terpedaya oleh
ilmunya dan ahli ibadat tidak terpedaya oleh amalnya, perhatikan tempat jatuh permintaan. Jika warna-warni
keduniaan seperti harta, pangkat dan kemuliaan yang menjadi tuntutannya dan
kesungguhan usaha dan ikhtiarnya ditujukan semata-mata kepada manusia dan alat
dalam mendapatkan keperluannya, itu menjadi tanda bahawa hatinya berpaling jauh
dari Allah s.w.t.
Perbetulkan wajah hati agar ia menghadap kepada Allah s.w.t.
Bila wajah hati menghadap kepada Wajah Allah s.w.t dapatlah mata hati melihat
bahawa Allah s.w.t sahaja yang berkuasa sementara makhluk hanyalah bekas tempat
zahir kesan kekuasaan-Nya.
Golongan kedua pula
meminta kepada lain-Nya, iaitu walaupun dia memohon kepada Allah s.w.t tetapi yang dipinta adalah sesuatu selain
Allah s.w.t.
Dia mungkin meminta
agar Allah s.w.t mengurniakan kepadanya harta, pangkat dan kemuliaan di sisi
makhluk. Permintaannya sama seperti golongan yang pertama cuma dia meminta kepada Allah s.w.t tidak kepada makhluk.
Orang yang dari golongan ini yang lebih baik sedikit ialah yang memohon kepada
Allah s.w.t agar dikurniakan faedah-faedah akhirat seperti pahala, syurga dan
juga keberkatan.
Permintaan yang berupa faedah duniawi dan ukhrawi menunjukkan sikap
kurang malunya seseorang hamba itu terhadap Allah s.w.t. Orang yang
seperti ini hanya melihat kepada nikmat tetapi tidak mahu mengenali Pemberi
nikmat. Perhatikan kepada diri kita, apakah kita asyik merengek meminta itu
dan ini daripada Allah s.w.t. Jika sifat demikian ada pada kita, itu
tandanya hati kita masih keras dan perlu dilembutkan dengan dzikrullah dan amal
ibadat agar lahirlah sifat malu terhadap Allah s.w.t Yang Maha
Lemah-lembut dan Maha Bersopan Santun.
Ada pula orang yang
membuat permintaan kepada-Nya, iaitu meminta agar dia didekatkan
kepada-Nya. Dia merasakan dirinya jauh dari Allah s.w.t. Inilah orang yang mata hatinya tertutup,
tidak dapat melihat bahawa Allah s.w.t lebih hampir kepadanya daripada urat
lehernya sendiri, Allah s.w.t sentiasa bersama-samanya walau di mana dia
berada.
Bagaimana melihat
Allah s.w.t lebih hampir dari urat leher dan Allah s.w.t sentiasa bersama walau
di mana kita berada, tidak dapat
dihuraikan. Ia bukanlah penglihatan mata tetapi penglihatan rasa atau
penglihatan mata hati. Perhatikanlah, andainya kita cenderung meminta agar
didekatkan kepada Allah s.w.t itu tandanya mata hati kita masih kelabu, maka
sucikanlah hati dengan sembahyang, berzikir dan ibadat-ibadat lain.
Golongan keempat
adalah yang mengajukan permintaan daripada-Nya. Orang ini mengakui bahawa Allah
s.w.t sahaja yang memiliki segala-galanya.
Hanya Allah s.w.t yang berhak memberi apa yang dimiliki-Nya. Permintaan
seperti ini menunjukkan kurang percayanya kepada Allah ar-Rahman, Yang Maha
Pemurah dan al-Karim, Yang
Memberi tanpa diminta.
Bukankah ketika kita di dalam kandungan ibu kita belum pandai meminta
tetapi Allah s.w.t telah memberi yang sebaik-baiknya kepada kita. Allah s.w.t
yang telah memberi ketika kita belum pandai meminta itu jugalah Tuhan kita
sekarang ini dan sifat murah-Nya yang sekarang ini seperti yang dahulu itu
juga.
Ketika kita belum pandai meminta kita mempercayai-Nya
sepenuh hati mengapa pula bila kita sudah pandai meminta kita menjadi ragu-ragu
terhadap kemurahan-Nya. Perhatikanlah, jika kita masih meminta-minta itu tandanya belum bulat penyerahan kita kepada-Nya. Penting
bagi orang yang melatihkan dirinya untuk dipersiapkan menemui Tuhan membulatkan
penyerahan kepada-Nya tanpa keraguan sedikit pun.
Ketika
membincangkan Hikmat 28 telah dihuraikan keadaan orang yang telah memperolehi
perkaitan dengan hakikat. Kesempatan mengalami hakikat bukanlah akhir
pencapaian. Seseorang haruslah mencapai
makam keteguhan hati sebelum mencapai makam kewalian. Pada
makam kewalian si hamba dikurniakan penjagaan dan perlindungan-Nya. Orang yang belum sampai kepada keteguhan
hati tidak lepas dari mengajukan permintaan kepada Allah s.w.t.
Permintaannya bukan lagi berbentuk duniawi atau ukhrawi tetapi yang dimintanya
ialah keteguhan hati, penjagaan dan pelindungan-Nya. Permintaan orang yang
berada pada peringkat ini menunjukkan dia belum bebas sepenuhnya dari
sifat-sifat kemanusiaan iaitu dia belum mencapai fana hakiki. Orang yang berada pada peringkat ini
haruslah berhati-hati dengan pencapaiannya. Janganlah terpedaya dengan
perolehan makrifat kerana makrifat itu juga merupakan ujian.
Ketahuilah:
1]. jika seseorang mendatangi Allah s.w.t berbekalkan amal maka Allah s.w.t menyambutnya
dengan perhitungan. Jika
amalnya dihisab dengan teliti nescaya tidak ada satu pun yang layak
dipersembahkan kepada Allah s.w.t.
2].Jika dia mendatangi-Nya dengan ilmu
pengetahuan maka Allah s.w.t menyambutnya dengan tuntutan. Ilmunya tidak mampu menyatakan kebenaran
yang hakiki.
3].Jika dia mendatangi-Nya dengan makrifat
maka Allah s.w.t menyambutnya dengan hujah. Dia tidak akan dapat memperkenalkan Allah s.w.t.
Oleh itu
A). singkirkan tuntutan dan pilihan agar Allah
s.w.t tidak membuat tuntutan kepada kita.
B). Lepaskan ilmu kita, amal kita, makrifat
kita, sifat kita, nama kita dan segala-galanya agar kita menemui Allah s.w.t
seorang diri tanpa sebarang bekal.
Jika mahu mencapai
keadaan ini ikhlaskan hati untuk semua amal perbuatan kita. Baikkan niat dan
bersabar tanpa mengeluh atau membuat tuntutan. Kemudian naik kepada redha dengan hukum-Nya. Insya’ Allah kita akan menemui-Nya,
iaitu pertemuan ubudiyah dengan Rububiah.
Suasana yang
disebutkan di atas telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda
s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada amalan
anak Adam yang melepaskan dirinya dari azab Allah s.w.t melebihi amalan berzikir
kepada Allah ‘Azza wa Jalla”.
Baginda s.a.w juga
bersabda yang bermaksud: “Berfirman Allah ‘Azza wa Jalla: ‘Barangsiapa menghabiskan waktunya berdzikir kepada-Ku, tanpa meminta
kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya yang lebih utama daripada apa yang Aku
berikan kepada mereka yang meminta’”.
Dzikir yang sebenar adalah penyerahan secara menyeluruh
kepada Allah s.w.t dalam
segala perkara agama baik yang mengenai dunia mahupun yang mengenai akhirat. Sembahyangnya,
ibadatnya, hidupnya dan matinya hanya kerana Allah s.w.t semata-mata. Dia
bersembahyang, beribadat dan melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan kerana
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
Sekiranya Allah s.w.t tidak menjadikan syurga dan neraka, juga tidak
mengadakan dosa dan pahala, maka sembahyangnya, ibadatnya, pekerjaannya dan
perbuatannya tetap juga serupa.
Mutu kerja yang dia menerima upah dan kerja yang dia tidak menerima upah
adalah serupa. Hatinya
tidak cenderung untuk memerhatikan upah kerana apa sahaja yang dia lakukan adalah
kerana Allah s.w.t. Hatinya bukan sahaja tidak memerhatikan upah daripada
manusia, bahkan ia juga tidak mengharapkan apa-apa balasan dari Allah s.w.t. Kekuatan
untuk mengingati Allah s.w.t dan berserah diri kepada-Nya merupakan ‘upah’ yang
sangat besar, tidak perlu lagi menuntut upah yang lain.
Hamba yang dzikirnya sudah larut ke dalam penyerahan, segala urusan
hidupnya diuruskan oleh Tuhannya. Dia adalah umpama bayi yang baharu
lahir, sentiasa dipelihara, dijaga dan dilindungi oleh ibunya.
No comments:
Post a Comment