59 & 60: DOSA DAN BAIK SANGKA.
TIDAKLAH BESAR SESUATU DOSA MELEBIHI SESUATU YANG MENGHALANG KAMU
BERBAIK SANGKA KEPADA ALLAH S.W.T. BARANGSIAPA MENGENAL TUHANNYA NESCAYA
MELIHAT KECILNYA DOSA.
TIDAK ADA DOSA KECIL JIKA ALLAH S.W.T MENGHADAPI KAMU DENGAN
KEADILAN-NYA DAN TIDAK ADA DOSA BESAR JIKA ALLAH S.W.T MENGHADAPI KAMU DENGAN
KURNIAAN-NYA.
Allah s.w.t
menurunkan syariat kepada umat manusia melalui nabi-nabi-Nya. Syariat
menentukan hukum-hukum yang wajib dipatuhi.
Hukum itu terdiri
daripada dua jenis, satu yang wajib dibuat dan satu lagi yang wajib tidak
dibuat. Perlakuan yang menyalahi hukum dinamakan dosa. Tidak melakukan yang
wajib dilakukan adalah berdosa. Melakukan yang wajib tidak dilakukan juga
berdosa.
Syarat penerimaan
dosa adalah kesedaran dan kerelaan hati dalam perbuatan tersebut. Perbuatan
yang menyalahi hukum jika dibuat tanpa kesedaran, dan dengan terpaksa tidak
dikatakan berdosa.
Jika meninggalkan
sembahyang kerana tertidur sebelum masuk waktu wajib sembahyang dan terjaga
dari tidur setelah luput waktu sembahyang, maka meninggalkan sembahyang selama
tempoh tertidur itu tidaklah berdosa. Seorang yang sedang kebuluran dan tidak
ada makanan yang halal ditemuinya, yang ada hanyalah seketul daging khinzir
yang syariat mengharamkan memakannya, jika dia memakan daging tersebut tidaklah
dikira dia berdosa.
Jika keadaan tidak
sedar sengaja diadakan, seperti sengaja meminum arak kemudian ketika mabuk itu
dia melakukan maksiat, maka dia mendapat dua dosa, iaitu dosa meminum arak dan
dosa melakukan maksiat setelah sengaja tidak menyedarkan dirinya. Sengaja
mengwujudkan suasana darurat untuk menyalahi hukum tidak melepaskan dari beban
dosa. Misalnya, seorang pesakit yang membuat alasan penyakitnya hanya boleh
sembuh dengan meminum arak menurut nasihat doktor kafir, maka perbuatan meminum
arak secara ini hukumnya berdosa.
Dosa disabitkan
kepada pelanggaran syariat dan syariat pula dicipta oleh Allah s.w.t. Jadi, pada hakikatnya dosa adalah ditentukan
oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t yang meletakkan hukum. Tidak taat kepada
Allah s.w.t itulah sebenarnya dosa.
Syariat boleh berubah tetapi Allah s.w.t yang wajib ditaati
tidak berubah. Banyak perkara yang diharamkan dalam
syariat Nabi Musa a.s dihalalkan dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w. Syariat
nabi-nabi yang terdahulu tidak menghadkan bilangan isteri-isteri tetapi syariat
Nabi Muhammad s.a.w menghadkannya setakat empat orang sahaja dalam satu masa.
Jadi, intisari
pahala dan dosa bukanlah sesuatu perbuatan itu, tetapi ketaatan atau
kederhakaan kepada Allah s.w.t yang menjadi pahala atau dosa. Melakukan gerakan sembahyang jika tidak
disertai dengan ketaatan kepada Allah s.w.t, tidak dinamakan bersembahyang.
Setiap perbuatan bergantung kepada niat. Perbuatan dilakukan oleh anggota zahir
dan niat dilakukan oleh anggota batin iaitu hati rohani. Kelakuan hati itulah yang menentukan pahala atau dosa.
Semua jenis ibadat hanya diperakui sebagai ibadat jika hati
memperakukan ibadat itu kerana Allah s.w.t. Hati yang
menentukan nilai perbuatan, bukan perbuatan yang menjadi penentu nilai. Oleh sebab itu perbuatan yang bersalahan
dengan hukum tidak menjadi besar jika dibandingkan dengan kelakuan hati yang
menafikan kesempurnaan Allah s.w.t dan mengadakan sangkaan buruk terhadap-Nya.
Perbuatan dosa yang
dilakukan oleh anggota zahir hanya mengotorkan manusia itu sendiri sahaja,
tetapi sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t mencabar kesempurnaan ketuhanan
Allah s.w.t, dan ini jauh lebih besar dosanya. Sebab itu dosa yang paling besar
dan tidak diampuni-Nya adalah syirik, iaitu meruntuhkan keesaan ketuhanan Allah
s.w.t.
Manusia yang
terkurung di dalam penjara dunia, hatinya dibayangi oleh cahaya api syaitan.
Syaitan membawa kepadanya khayalan-khayalan yang membentuk sangkaan. Apabila seseorang itu didatangi oleh
keinsafan dan mahu bertaubat dari dosa-dosanya, syaitan akan
mengulang-tayang akan perbuatan dosanya dengan gambaran yang sangat hina dan
menjijikkan sehingga orang itu merasakan dosanya terlalu besar, tidak
mungkin mendapat keampunan Allah s.w.t.
Dia tenggelam dalam
lautan sangkaan bahawa Allah s.w.t tidak akan mengampunkan dosanya. Seterusnya
timbul sangkaan bahawa tidak berfaedah lagi dia melakukan kebaikan kerana
dosa-dosa yang lalu menghalang kebaikan yang hendak dilakukannya diterima oleh
Allah s.w.t. Jadilah dia seorang yang
hidup dengan dosa-dosa yang lalu dan tidak ada kebaikan baharu dikerjakan.
Tugu sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t yang dibina oleh
syaitan mestilah dirobohkan. Hikmat 57 telah menganjurkan agar
tidak meninggalkan dzikir walaupun hati lalai dari apa yang dizikirkan.
Dzikir yang dilakukan secara paksa itu akan meleburkan sangkaan buruk terhadap
Allah s.w.t sedikit demi sedikit, lalu muncullah sangkaan baik.
Rohaninya seterusnya meningkat ke darjat yang lebih tinggi, di mana tidak ada
lagi sangkaan terhadap Allah s.w.t, tetapi hati mengenal Allah s.w.t dengan
sebenar-benar kenal. Dapatlah dia melihat bahawa niat datangnya dari
Iradat Allah s.w.t. Tidak ada suatu
kehendak kecuali apa yang bergantung kepada Iradat Allah s.w.t. Tidak ada satu
perbuatan kecuali apa yang bergantung kepada Kudrat Allah s.w.t.
Pada sisi Allah s.w.t tidak ada yang jahat, semuanya baik
belaka. Jahat hanya wujud apabila nafsu manusia mengadakan kehendak dan
perbuatan dirinya sendiri, lupa dia bersandar kepada Allah s.w.t.
Junaid al-Baghdadi
berkata: “Barangsiapa tidak
mencapai fana dirinya dan baqa dengan Allah s.w.t, maka semua kebaikan yang
dibuatnya adalah mengandungi dosa”.
Ahli makrifat melihat kecilnya perbuatan dosa jika dibandingkan
dengan pengakuan dirinya ada kuasa menciptakan sesuatu perbuatan. Bagi
mereka, selagi mereka melihat diri mereka
melakukan amalan, selagi itulah amalan mereka mengandungi dosa.
Perhatian kepada
diri menghijab perhatian kepada Tuhan. Orang
arif mengembalikan segala perkara kepada Tuhan. Mereka melihat diri mereka
tidak melakukan kejahatan kerana Allah s.w.t menjaga dan melindungi mereka
daripada kejahatan. Mereka melihat diri mereka berbuat kebaikan kerana
Allah s.w.t mengurniakan kebaikan itu kepada mereka. Tidak terlihat lagi pada mata hati mereka sesuatu apa pun kecuali yang
dari Allah, kepada Allah dan beserta Allah s.w.t.
Tanpa makrifat seseorang akan melihat amal yang dilakukannya dan dia
cenderung untuk mengukur dirinya dengan amalan tersebut. Seterusnya
dia menjadikan amalan tersebut sebagai persediaan untuk menghadap Allah s.w.t.
Boleh dikatakan dia menjadikan amalannya sebagai tuntutan terhadap Allah s.w.t.
Apabila seseorang
hamba membawa kepada Allah s.w.t amal perbuatannya, maka Allah s.w.t menerimanya dengan hisab dan perhitungan yang
terperinci. Hisab Allah s.w.t
sangat halus dan rapi. Tidak ada walau sebesar zarah pun yang terkeluar dari
kiraan-Nya. Sebab itu jika kamu
dihadapkan kepada keadilan Allah s.w.t, tidak ada dosa yang kecil atau
remeh-temeh yang boleh lepas dari kiraan Allah s.w.t. Semuanya besar dan
semuanya dikira.
Berbeza keadaannya
bagi orang yang dihadapi Allah s.w.t dengan kurnia-Nya. Allah s.w.t berfirman:
Sesungguhnya Allah
telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta
benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan)
mereka berjuang pada jalan Allah; maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan
terbunuh. (Ayat 111 : Surah at-Taubah)
Orang yang dibeli
oleh Allah s.w.t, menjadi hamba abdi kepada-Nya. Allah s.w.t, sebagai Tuan,
menguruskan, memelihara dan menjaga abdi-Nya. Apa juga perbuatan yang dilakukan oleh hamba abdi adalah yang
diperintahkan oleh Tuannya. Tuan yang mengeluarkan perintah, Tuan juga yang
mempertanggungjawabkannya. Hamba abdi tidak ada pilihan. Lantaran itu apabila Allah s.w.t menghadapi
hamba abdi-Nya, maka dihadapi-Nya dengan kurnia-Nya bukan dengan tuntutan.
Thanks very much for Al-Hikam
ReplyDeleteAlhamduliLLah
ReplyDelete