82: TANDA DITERIMA AMAL.
BARANGSIAPA YANG DAPAT MERASA BUAH DARI AMALNYA SEKARANG (DI DUNIA) IA
MENJADI BUKTI DITERIMA AMALNYA KELAK (DI AKHIRAT)
Buah dari amal
adalah kesan yang lahir dari amal kebaikan yang dilakukan. Kesan itu menjadi
tanda menunjukkan sama ada amal seseorang itu diterima oleh Allah s.w.t atau
tidak. Banyak ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang menceritakan
tentang tanda-tanda yang boleh dibuat ukuran tentang amal yang dilakukan.
Misalnya Rasulullah s.a.w bersabda:
BARANGSIAPA TIDAK
DICEGAH OLEH SEMBAHYANGNYA DARI MELAKUKAN PERBUATAN KEJI DAN MUNKAR, MAKA DIA
TIDAK BERTAMBAH DEKAT DENGAN ALLAH S.W.T, BAHKAN BERTAMBAH JAUH.
Sembahyang yang diterima oleh Allah s.w.t adalah sembahyang yang
mendekatkan orang yang melakukannya kepada Allah s.w.t dan tandanya adalah
orang itu dilindungi dari terjerumus melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Andaikata mata hati
dapat melihat nescaya akan kelihatan sembahyang dan amal kebaikan yang
lain, mengeluarkan nur-nur yang menjadi tentera melindungi orang yang berbuat
sembahyang dan kebaikan itu daripada percubaan tentera musuh menjatuhkannya ke
dalam lembah kekejian dan kemunkaran.
Orang tersebut
kadang-kadang terlintas juga dihatinya untuk melakukan maksiat, tetapi nur-nur
yang menjadi tentera amal kebaikan bertindak menghindarkannya daripada
melakukan maksiat yang ingin dilakukannya itu, hinggakan dia sendiri hairan
bagaimana dia boleh terselamat padahal dia sudah berada di hadapan pintu
maksiat.
Tentera nur tersebut bukan setakat mengawal kejahatan
daripada menghampiri tuannya bahkan ia juga sering menarik tuannya kepada
kebaikan hinggakan orang itu selalu berpeluang berbuat kebaikan tanpa dirancang
dan dia selalu berasa hairan bagaimana bila ada sahaja kerja kebaikan maka
tiba-tiba dia ikut serta melakukannya sedangkan tiada sesiapa menjemputnya
untuk melakukan pekerjaan itu. Inilah yang dinamakan buah daripada amal
kebaikan. Jika dia ikhlas menjaga amal kebaikannya, maka
tentera nur yang lahir dari amal itu akan ikhlas pula melindunginya, bukan
sahaja ketika di atas muka bumi ini, malah tentera nur itu akan menemaninya di
dalam kubur, memberi cahaya dan menghilangkan kesunyiannya.
Orang yang tidak
mendapat buah dari amalnya sering ditarik ke arah yang berlawanan. Dia mudah
terjerumus ke dalam lembah maksiat walaupun dia sudah berusaha berungguh-sungguh
untuk menjauhkannya. Dia berasa berat untuk beribadat walaupun dia sudah
mencuba untuk khusyuk.
Walaupun banyak
amal kebaikan yang dilakukannya tetapi jika amal itu tidak ikhlas, iaitu tidak
ada nyawanya maka dia tidak dapat menghidupkan tentera nur dari amal tersebut,
yang boleh menjaganya daripada kebinasaan.
Oleh sebab amal
kebaikan orang Mukmin tidak dibalas sepenuhnya semasa dia hidup di dunia ini maka
Allah s.w.t menggantikannya dengan sejenis rasa kelazatan dan kepuasan
mengiringi amalnya sehingga dia tidak berasa bosan dan tidak berasa rugi kerana
beramal.
Amal yang salih
ditempatkan di Iliyyin yang berhampiran dengan syurga. Walaupun orang Mukmin
masih hidup di dunia, amalnya telah pun diangkat ke Iliyyin dan amal itu sudah
dapat mencium bau syurga. Keharuman bau syurga itu disalurkan kepada tuannya
yang berada di dunia. Oleh sebab itu orang Mukmin sudah dapat mengecap bau
syurga sebelum memasukinya dan ketika mereka masih hidup di dunia. Keharuman
dan kelazatan imbasan syurga dirasai ketika mereka beramal, terutamanya ketika
bersembahyang.
Suasana sembahyang
mereka seolah-olah mereka berada di dalam syurga, sebab itulah mereka tidak
mendengar desiran angin dan tidak sakit ditikam dengan tombak, kerana kelalaian
dan kesakitan tidak ada di dalam syurga. Allah s.w.t berfirman:
No comments:
Post a Comment