58: TANDA MATINYA HATI.
SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA MATINYA HATI IALAH APABILA TIDAK BERASA
SEDIH JIKA TERLEPAS SESUATU AMAL KEBAIKAN DARIPADANYA DAN TIDAK MENYESAL JIKA
TERJADI PERBUATAN YANG TIDAK BAIK OLEHNYA.
Kita telah dinasihatkan supaya jangan meninggalkan dzikir walaupun tidak
hadhir hati ketika berzikir. Begitu juga dengan ibadat dan amal
kebaikan. Janganlah meninggalkan ibadat lantaran hati tidak khusyuk ketika
beribadat dan jangan meninggalkan amal kebaikan lantaran hati belum ikhlas
dalam melakukannya.
Khusyuk dan ikhlas adalah sifat hati yang sempurna. Dzikir,
ibadat dan amal kebaikan adalah cara-cara untuk membentuk hati agar menjadi
sempurna. Hati yang belum mencapai tahap kesempurnaan dikatakan hati itu
berpenyakit. Jika penyakit itu dibiarkan, tidak diambil langkah mengubatinya,
pada satu masa, hati itu mungkin boleh mati.
Mati hati berbeza
daripada mati tubuh badan. Orang yang mati tubuh badan ditanam di dalam tanah.
Orang yang mati hatinya, tubuh badannya masih sihat dan dia masih berjalan ke
sama ke mari di atas muka bumi ini.
Jika kita renungi
kembali kepada diri zahir manusia, kita akan dapat menyusunnya sebagai tubuh,
nyawa, naluri-naluri dan akal fikiran. Bila dibandingkan dengan haiwan, kita
akan mendapati susunan haiwan seperti susunan manusia juga.. Haiwan mempunyai
tubuh badan, nyawa dan naluri-naluri. Bezanya adalah haiwan tidak mempunyai
akal fikiran. Oleh sebab manusia memiliki akal fikiran maka manusia boleh
diistilahkan sebagai haiwan yang cerdik.
Haiwan yang cerdik
(manusia), dipanggil nafsu natiqah
menurut istilah tasauf . Pemilikan akal tidak mengubah manusia dari status
kehaiwanan.
Jika ada haiwan
berbangsa monyet, harimau, kuda dan lain-lain, maka ada haiwan berbangsa
manusia. Haiwan berbangsa manusia menjadi raja memerintah semua haiwan yang
lain. Akal fikiran yang ada pada mereka membuat mereka boleh membentuk
kehidupan yang lebih sempurna dari haiwan lain yang tidak berakal. Akal
fikiran juga mampu membuat haiwan bangsa manusia menawan daratan, lautan dan
udara.
Walaupun mereka
berjaya menawan daratan dengan kenderaan mereka namun, itu tidak membezakan
mereka daripada kuda dan haiwan lain yang mampu juga menawan daratan. Walaupun
mereka berjaya menawan lautan namun, itu tidak membezakan mereka daripada
haiwan ikan yang juga menggunakan lautan. Walaupun mereka berjaya menawan udara
namun, itu tidak membezakan mereka daripada haiwan burung yang juga menggunakan
udara. Kemampuan yang ditunjukkan oleh akal fikiran tidak mengubah status
haiwan yang ada pada manusia. Apakah
yang menjadikan manusia sebagai insan, bukan haiwan?
Manusia menjadi istimewa kerana memiliki hati rohani. Hati
mempunyai nilai yang mulia yang tidak dimiliki oleh akal fikiran. Semua anggota
dan akal fikiran menghala kepada alam benda sementara hati rohani menghala kepada Pencipta alam benda. Hati
mempunyai persediaan untuk beriman kepada Tuhan. Hati yang menghubungkan
manusia dengan Pencipta.
Hubungan dengan
Pencipta memisahkan manusia daripada daerah haiwan dan mengangkat darjat mereka
menjadi makhluk yang mulia. Hati yang cergas, sihat dan dalam keasliannya yang
murni, berhubung erat dengan Tuhannya. Hati itu menyuluh akal fikiran agar akal
fikiran dapat berfikir tentang Tuhan dan kejadian Tuhan. Hati itu menyuluh juga
kepada anggota tubuh badan agar mereka tunduk kepada perintah Tuhan dan
menjauhi larangan-Nya. Hati yang berjaya
menaklukkan akal fikiran dan anggota tubuh badannya serta mengarahkan mereka
berbuat taat kepada Allah s.w.t adalah hati yang sihat.
Hati yang sihat
melahirkan takwa, iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t. Takwalah yang membezakan
kedudukan seseorang hamba pada sisi Tuhan. Semakin
tinggi darjat ketakwaan semakin hampir seorang hamba dengan Tuhannya.
Semakin rendah darjat takwa semakin hampir seseorang dengan daerah kehaiwanan.
Jika takwa tidak ada jadilah manusia itu haiwan yang pandai berfikir dan
berkata-kata.
Haiwan yang pandai
berfikir inilah yang dikatakan manusia yang mati hatinya. Dia tidak dapat
menggerakkan fikiran dan anggotanya menuju kepada Allah s.w.t. Bahagian yang
menghala kepada Pencipta tidak berfungsi, hanya bahagian yang menghala kepada
alam benda merupakan bahagian yang aktif.
Manusia yang mati
hatinya atau manusia yang berbangsa haiwan ini tidak berasa sedih jika terlepas
peluang baginya untuk melakukan amalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan dan
dia tidak berasa kesal jika dia berbuat dosa dan maksiat yang menjauhkan
dirinya daripada Allah s.w.t.
Kematian hati tidak dapat dikenal jika seseorang itu mengambil daya
nilai keduniaan sebagai piawaian. Ramai orang yang menurut
pengertian tasauf sudah mati hatinya tetapi mereka mencapai
berbagai-bagai kecemerlangan dalam kehidupan dunia. Mereka menjadi pemimpin
kepada orang ramai. Mereka menciptakan berbagai-bagai benda keperluan manusia.
Mereka berjaya mendaki Gunung Everest. Mereka memegang bermacam-macam rekod
kejohanan. Mereka menguasai kekayaan dan berbagai-bagai lagi kejayaan dan
kecemerlangan.
No comments:
Post a Comment