12: UZLAH ADALAH PINTU TAFAKUR.
TIADA SESUATU YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK
MASUK KE MEDAN TAFAKUR.
Kalam-kalam Hikmat
pertama hingga ke sebelas telah memberi gambaran tentang keperibadian tauhid
yang halus-halus.
Seseorang yang
mencintai Allah s.w.t dan mahu berada di sisi-Nya sangat ingin untuk mencapai
keperibadian yang demikian. Dalam membentuk keperibadian itu dia gemar
mengikuti landasan syariat, kuat beribadat dan menjauhkan diri dari perbuatan
maksiat dan dosa. Dia sering bangun pada malam hari untuk melakukan sembahyang
tahajud dan selalu pula melakukan puasa sunat. Dia menjaga tingkah-laku dan akhlak
dengan mencontohi apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Hasil daripada
kesungguhannya itu terbentuklah padanya keperibadian seorang muslim yang baik.
Walaupun demikian
dia masih tidak mencapai kepuasan dan kedamaian. Dia masih tidak mengerti tentang Allah s.w.t. Banyak persoalan yang
timbul di dalam kepalanya yang tidak mampu dihuraikannya. Dia telah
bertanya kepada mereka yang alim, tetapi dia tidak mendapat jawapan yang
memuaskan hatinya. Jika ada pun jawapan yang baik disampaikan kepadanya dia tidak
dapat menghayati apa yang telah diterangkan itu. Dia mengkaji kitab-kitab
tasauf yang besar-besar. Ulama tasauf telah memberikan penjelasan
yang mampu diterima oleh akalnya namun, dia masih merasakan kekosongan di satu
sudut di dalam dirinya. Bolehlah dikatakan yang dia sampai kepada perbatasan
akalnya.
Hikmat 12 ini
memberi petunjuk kepada orang yang gagal mencari jawapan dengan kekuatan
akalnya. Jalan yang disarankan ialah
uzlah atau mengasingkan diri dari orang ramai. Jika dalam suasana biasa
akal tidak mampu memecahkan kubu kebuntuan, dalam suasana uzlah hati mampu
membantu akal secara tafakur, merenungi perkara-perkara yang tidak boleh
difikirkan oleh akal biasa.
‘Uzlah yang
disarankan oleh Hikmat 12 ini bukanlah uzlah sebagai satu cara hidup yang
berterusan tetapi ia adalah satu bentuk latihan kerohanian bagi memantapkan
rohani agar akalnya dapat menerima pancaran Nur Kalbu kerana tanpa sinaran Nur
Kalbu tidak mungkin akal dapat memahami hal-hal ketuhanan yang halus-halus, dan
tidak akan diperolehi iman dan tauhid yang hakiki.
Hati adalah bangsa rohani atau nurani iaitu hati berkemampuan
mengeluarkan nur jika ia berada di dalam keadaan suci bersih. Nur
yang dikeluarkan oleh hati yang suci bersih itu akan menerangi otak yang
bertempat di kepala yang menjadi kenderaan akal. Akal yang diterangi oleh nur
akan dapat mengimani perkara-perkara ghaib yang tidak dapat diterima oleh hukum
logik. Beriman kepada perkara ghaib
menjadi jalan untuk mencapai tauhid yang hakiki.
Nabi Muhammad s.a.w
sebelum diutus sebagai Rasul pernah juga mengalami kebuntuan akal tentang hal
ketuhanan. Pada masa itu ramai pendeta Nasrani dan Yahudi yang arif tentang hal
tersebut, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi kepada mereka untuk
mendapatkan jawapan yang mengganggu fikiran baginda s.a.w, sebaliknya baginda s.a.w telah memilih jalan ‘uzlah.
Ketika umur baginda
s.a.w 36 tahun baginda s.a.w melakukan uzlah di Gua Hiraa. Baginda s.a.w
tinggal sendirian di dalam gua yang sempit lagi gelap, terpisah dari isteri,
anak-anak, keluarga, masyarakat hinggakan cahaya matahari pun tidak menghampiri
baginda s.a.w.
Amalan’ uzlah yang
demikian baginda s.a.w lakukan secara berulang-ulang sehingga umur baginda
s.a.w mencapai 40 tahun. Masa yang paling baginda s.a.w gemar ber’uzlah di Gua
Hiraa’ ialah pada bulan Ramadan. Latihan uzlah yang baginda lakukan dari umur
36 hingga 40 tahun itu telah memantapkan rohani baginda s.a.w sehingga berupaya
menerima tanggungjawab sebagai Rasul.
Latihan semasa
uzlah telah menyucikan hati baginda s.a.w dan meneguhkannya sehingga hati itu
mampu menerangi akal untuk mentafsir wahyu secara halus dan lengkap. Wahyu yang
dibacakan oleh Jibrail a.s hanyalah singkat tetapi Rasulullah s.a.w dapat
menghayatinya, memahaminya dengan tepat, mengamalkannya dengan tepat dan
menyampaikannya kepada umatnya dengan tepat meskipun baginda s.a.w tidak tahu
membaca dan menulis.
Begitulah kekuatan dan kebijaksanaan yang lahir dari latihan semasa ‘uzlah. Tanpa
latihan dan persiapan yang cukup seseorang tidak dapat masuk ke dalam medan
tafakur tentang ketuhanan. Orang yang masuk ke dalam medan ini tanpa persediaan
dan kekuatan akan menemui kebuntuan.
Jika dia masih juga merempuh tembok kebuntuan itu dia akan jatuh ke dalam jurang
gila.
Orang awam hidup
dalam suasana: “Tugas utama adalah menguruskan kehidupan harian dan tugas
sambilan pula menghubungkan diri dengan Allah s.w.t”.
Orang yang di dalam suasana ini sentiasa ada masa untuk apa juga
aktiviti tetapi sukar mencari kesempatan untuk bersama-sama Allah s.w.t. Orang
yang seperti ini jika diperingatkan supaya mengurangkan aktiviti kehidupannya
dan memperbanyakkan aktiviti perhubungan dengan Allah s.w.t mereka memberi
alasan bahawa Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w tidak
meninggalkan dunia lantaran sibuk dengan Allah s.w.t.
Mereka ini lupa
atau tidak mengerti bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah mendapat
wisal atau penyerapan hal yang berkekalan. Hati mereka tidak berpisah lagi
dengan Allah s.w.t. Kesibukan menguruskan urusan harian tidak membuat mereka
lupa kepada Allah s.w.t walau satu detik pun.
Orang yang mata hatinya masih tertutup dan cermin hatinya tidak menerima
pancaran Nur Sir, tidak mungkin hatinya berhadap kepada Allah s.w.t
ketika sedang sibuk melayani makhluk Allah s.w.t. Orang yang insaf
akan kelemahan dirinya akan mengikuti jalan yang dipelopori oleh Rasulullah
s.a.w dan diikuti oleh para sahabat iaitu memisahkan diri dengan semua jenis
kesibukan terutamanya pada satu pertiga malam yang akhir. Tidak ada hubungan
dengan orang ramai. Tidak dikunjung dan tidak mengunjungi. Tidak ada surat
khabar, radio dan televisyen. Tidak ada perhubungan dengan segala sesuatu
kecuali perhubungan dengan Allah s.w.t.
Dalam perjalanan
tarekat tasauf amalan ‘uzlah dilakukan dengan bersistematik
dan latihan yang demikian dinamakan suluk. Orang yang menjalani
suluk dinamakan murid atau salik.
Si salik
menghabiskan kebanyakan daripada masanya di dalam bilik khalwat dengan diawasi
dan dibimbing oleh gurunya. Latihan
bersuluk memisahkan salik dengan hijab yang paling besar bagi orang yang baharu
menjalani jalan kerohanian iaitu pergaulan dengan orang ramai. Imannya
belum cukup teguh dan mudah menerima rangsangan daripada luar yang boleh
menggelincirkannya untuk melakukan maksiat dan melalaikan hatinya daripada
mengingati Allah s.w.t. Apabila dia dipisahkan dari dunia luar jiwanya lebih
aman dan tenteram mengadakan perhubungan dengan Allah s.w.t.
Semasa ber’uzlah,
bersuluk atau berkhalwat, si murid bersungguh-sungguh di dalam bermujahadah
memerangi hawa nafsu dan tarikan duniawi. Dia memperbanyakkan sembahyang, puasa
dan berzikir. Dia mengurangkan tidur kerana memanjangkan masa beribadat. Kegiatan beribadat dan pelepasan ikatan
nafsu dan duniawi menjernihkan cermin hatinya. Hati yang suci bersih menghala ke
alam ghaib iaitu Alam Malakut. Hati mampu menerima isyarat-isyarat
dari alam ghaib. Isyarat yang diterimanya hanyalah sebentar tetapi cukup untuk
menarik minatnya bagi mengkaji apa yang ditangkap oleh hatinya itu.
Terjadilah
perbahasan di antara fikirannya dengan dirinya sendiri. Pada masa yang sama dia menjadi penanya dan penjawab, murid dan
pengajar. Perbahasan dengan diri sendiri itu dinamakan tafakur.
Pertanyaan timbul
dalam fikirannya namun, fikirannya tidak dapat memberi jawapan. Ketika fikirannya meraba-raba mencari
jawapan, dia mendapat bantuan daripada hatinya yang sudah suci bersih. Hati
yang berkeadan begini mengeluarkan nur yang menerangi akal, lalu jalan
fikirannya terus menjadi terang. Sesuatu persoalan yang pada mulanya
difikirkan rumit dan mengelirukan, tiba-tiba menjadi mudah dan terang.
Dia mendapat
jawapan yang memuaskan hatinya kepada persoalan yang dahulunya mengacau fikiran
dan jiwanya. Dia menjadi bertambah berminat untuk bertafakur menghuraikan
segala kekusutan yang tidak dapat dihuraikannya selama ini. Dia gemar merenung
segala perkara dan berbahas dengan dirinya, menghubungkannya dengan Tuhan
sehingga dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya.
Semakin dia
bertafakur semakin terbuka kegelapan yang menutupi fikirannya. Dia mula memahami tentang hakikat,
hubung-kait antara makhluk dengan Tuhan, rahsia Tenaga Ilahi dalam perjalanan
alam dan sebagainya.
Isyarat-isyarat tauhid yang diterima oleh hatinya membuat
mata hatinya melihat bekas-bekas Tangan Allah s.w.t dalam alam maya ini. Dia
dapat melihat bahawa semuanya adalah ciptaan Allah s.w.t, gubahan-Nya,
lukisan-Nya dan peraturan-Nya. Hasil
dari kegiatan bertafakur tentang Tuhan membawa dia bermakrifat kepada Allah
s.w.t melalui akalnya. Makrifat secara akal menjadi kemudi baginya untuk
mencapai makrifat secara zauk.
Dalam pengajian
ketuhanan akal hendaklah tunduk mengakui kelemahannya. Akal hendaklah sedar bahawa ia tidak mampu memahami perkara ghaib.
Oleh itu akal perlu meminta bantuan hati. Hati perlu digilap supaya bercahaya.
Dalam proses menggilap hati itu akal tidak perlu banyak mengadakan hujah. Hujah
akal melambatkan proses penggilapan hati.
Sebab itulah Hikmat
12 menganjurkan supaya mengasingkan diri. Di dalam suasana pengasingan nafsu
menjadi lemah dan akal tidak lagi mengikut telunjuk nafsu. Baharulah hati dapat
mengeluarkan cahayanya. Cahaya hati
menyuluh kepada alam ghaib. Apabila alam ghaib sudah terang benderang baharulah
akal mampu memahami hal ketuhanan yang tidak mampu dihuraikannya sebelum itu.
No comments:
Post a Comment