80: TANDA KEJAHILAN AHLI HAKIKAT.
JIKA KAMU MELIHAT SESEORANG (AHLI HAKIKAT) MENJAWAB SETIAP
PERTANYAAN DAN MENERANGKAN SETIAP PENGLIHATAN (MATA HATI) DAN MENCERITAKAN
SETIAP YANG DIKETAHUINYA, MAKA KETAHUILAH BAHAWA YANG DEMIKIAN ITU ADALAH TANDA
KEJAHILANNYA.
Manusia digesa
supaya menggunakan akal fikirannya untuk mengkaji tentang kejadian-kejadian
alam maya ciptaan Tuhan Maha Pencipta. Semakin mendalam pengetahuan tentang
ciptaan Allah s.w.t, semakin kelihatan kebesaran dan keagungan-Nya. Bertambah
pula keinsafan tentang kelemahan yang ada pada diri manusia terutamanya dalam
menghuraikan hal ketuhanan. Ilmu pengetahuan yang mahir dalam perbahasan
tentang makhluk menjadi tidak bermaya apabila mencuba menyingkap Rahsia-rahsia
ketuhanan.
Bila mengakui akan
kejahilan dirinya seseorang itu menyerahkan dirinya dengan beriman kepada Allah
s.w.t. Penyerahan ini dinamakan aslim
dan orang yang berbuat demikian dinamakan orang Islam. Orang yang
beriman tidak membahaskan tentang Allah s.w.t kerana mereka mengakui kelemahan
akal dalam bidang tersebut.
Bidang yang tidak dapat diterokai oleh akal masih mampu
dijangkau oleh hati. Hati yang suci bersih mengeluarkan
cahayanya yang dinamakan Nur Kalbu. Nur Kalbu menerangi akal dan bersuluhkan
cahaya Nur Kalbu ini, akal dapat menyambung kembali perjalanannya dari ‘stesen’
ia telah berhenti. Perjalanan akal yang diterangi oleh cahaya Nur Kalbu mampu
menyingkap perkara-perkara yang ghaib dan beriman dengannya walaupun akal
manusia umum menafikannya.
Terdapat perbezaan
yang besar antara akal biasa dengan akal yang diterangi oleh nur. Akal biasa
beriman kepada Allah s.w.t berdasarkan dalil-dalil yang nyata dan logik. Akal
yang beserta nur mampu menyelami di bawah atau di sebalik yang nyata iaitu
perkara ghaib, dan beriman kepada Allah s.w.t berdasarkan pengalaman tentang
perkara-perkara ghaib.
Walaupun perkara
ghaib itu tidak dapat diterima oleh akal biasa, tetapi akal yang bersuluhkan
nur tidak sedikit pun ragu-ragu terhadapnya.
Pengetahuan yang terhasil dari cetusan atau tindakan nur ini dinamakan
ilmu hakikat, ilmu ghaib, ilmu Rabbani atau ilmu laduni. Walau
apa pun istilah yang digunakan, ia adalah pengetahuan tentang ketuhanan yang
didapati dengan cara mengalami sendiri tentang hal-hal ketuhanan, bukan menurut
perkataan orang lain, dan juga bukan menurut sangkaannya sendiri.
Hatilah yang mengalami hal-hal tersebut dan pengalaman ini dinamakan
pengalaman rasa, zauk atau hakikat. Apa yang dialami
oleh hati tidak dapat dilukiskan atau dibahasakan. Lukisan dan bahasa hanya
sekadar menggerakkan pemahaman sedangkan hal yang sebenar jauh berbeza. Jika
hal pengalaman hati dipegang pada lukisan dan bahasa ibarat, maka seseorang itu
akan menjadi keliru. Jika lukisan dan simbol diiktikadkan sebagai hal ketuhanan
maka yang demikian adalah kufur!
Pemegang ilmu ghaib terdiri daripada dua golongan:
1].Golongan pertama adalah orang
yang terlebih dahulu memasuki bidang pembelajaran tentang tauhid dan latihan
penyucian hati menurut tarekat tasauf. Pembelajaran dan latihan yang mereka
lakukan tidak membuka bidang hakikat.
Ini membuat mereka
mengerti akan nilai dan kedudukan ilmu ghaib yang sukar diperolehi itu. Mereka
hanya dapat belajar, melatih diri, kemudian menanti dan terus menanti. Jika
Allah s.w.t berkenan maka dikurniakan sinaran nur yang menerangi hati si murid
itu.
Si murid itu pun
mengalami dan berpengetahuan tentang hakikat. Pengetahuan yang diperolehi itu
sangat berharga baginya dan dijaganya benar-benar, tidak dibukakannya kepada
orang lain kerana dia tahu yang orang ramai sukar memahami perkara yang telah
dialaminya itu.
2].Pemegang ilmu
ghaib golongan kedua tidak
pula melalui proses pembelajaran dan latihan seperti golongan pertama. Golongan
ini tiba-tiba sahaja dibukakan hakikat kepada mereka (hanya Allah s.w.t
mengetahui mengapa Dia berbuat demikian). Oleh sebab mereka memperolehinya
dengan mudah dan tanpa asas pengetahuan yang kuat, mereka tidak mengetahui
nilai sebenar pengetahuan yang mereka perolehi itu. Mereka menyangkanya sebagai
ilmu biasa.
Lantaran mereka
memahaminya mereka menyangka orang lain juga memahaminya. Sebab itu mereka
mudah memperkatakan ilmu tersebut di hadapan orang ramai.
Oleh sebab ilmu ini
tidak dapat diceritakan kecuali dengan ibarat, satu daripada dua kemungkinan
akan berlaku.
(ii). Pertama,
lantaran orang ramai melihat latar belakang orang hakikat tadi tidak mempunyai
asas agama yang kuat, bukan orang alim, maka mereka menganggapnya pembohong dan
pembawa cerita khayal.
(i). Kedua,
kemungkinan ada orang yang mempercayainya tetapi kepercayaan itu tertuju kepada
ibarat bukan kepada yang diibaratkan.
No comments:
Post a Comment