7: PENGERTIAN JANJI ALLAH SWT.
JANGAN SAMPAI MERAGUKAN KAMU TERHADAP JANJI ALLAH KERANA
TIDAK TERLAKSANA APA YANG TELAH DIJANJIKAN, MESKIPUN TELAH TERTENTU
(TIBA) MASANYA, SUPAYA KERAGUAN ITU TIDAK MEROSAKKAN MATA HATI KAMU
DAN TIDAK MEMADAMKAN CAHAYA SIR (RAHSIA ATAU BATIN) KAMU.
Doa dan janji Allah
s.w.t berkait rapat. Allah s.w.t menjanjikan untuk menerima semua doa. Hamba
sudah sangat kuat dan kerap berdoa. Hamba mendoakan agar diselamatkan daripada
sesuatu musibah. Masa musibah itu
sampai sudah tiba tetapi keselamatan daripadanya tidak tiba. Timbul
keraguan dalam hati hamba itu tentang janji-janji Allah s.w.t.
Sebahagian orang
beriman diuji dengan penerimaan atau
penolakan doa dan sebahagian yang lain diuji dengan tertunai atau tertahan janji Allah s.w.t. Janji
Allah s.w.t ada dalam bentuk umum dan ada dalam bentuk khusus.
Janji umum banyak
terdapat di dalam al-Quran seperti janji syurga terhadap orang yang berbuat
kebajikan, janji neraka terhadap orang yang derhaka, janji ketinggian darjat
bagi orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t, janji kekuasaan di atas muka
bumi terhadap orang yang beriman dan beramal salih dan lain-lain lagi.
Di dalam surah
an-Nisaa’ ayat 95 Allah s.w.t menjanjikan
ganjaran yang besar kepada orang yang berjihad pada jalan-Nya. Dalam surah
an-Nur ayat 55 Allah s.w.t menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal
salih bahawa mereka akan dijadikan khalifah di bumi, Dia akan teguhkan agama
mereka dan Dia akan hilangkan ketakutan mereka.
Banyak lagi janji
Allah s.w.t yang boleh ditemui di dalam al-Quran. Janji-janji Allah s.w.t
secara umumnya berkaitan dengan amal, sesuai dengan sunnatullah yang menguasai
perjalanan kehidupan. Ada juga janji secara khusus kepada orang-orang tertentu,
misalnya melalui mimpi atau suara ghaib.
Orang yang beriman
dengan Allah s.w.t percaya kepada janji-janji-Nya. Janji Allah s.w.t menjadi
pendorong kepada mereka untuk bekerja kuat, beramal salih dan berjihad pada
jalan-Nya. Allah s.w.t tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janji-Nya. Di
dalam golongan yang percaya kepada janji-janji Allah s.w.t itu ada sebilangan
yang berpenyakit seperti yang dihidapi oleh sebilangan orang yang berdoa kepada
Allah s.w.t. Orang yang berdoa membuat tuntutan dengan doanya dan orang yang
percaya kepada janji Allah s.w.t membuat tuntutan dengan amalnya, kerana Allah
s.w.t berjanji memberinya sesuatu menurut amalannya.
Hikmat ketujuh
mengaitkan janji Allah s.w.t dengan mata hati dan Nur Sir (Rahsia atau
batin). Persoalan mata hati telah disentuh pada Hikmat ke lima.
Penyingkapan rahsia mata hati menemukan kita dengan persoalan diri zahir, diri
batin dan seterusnya kepada persoalan roh.
Suluhan mata hati
membawa kepada pengenalan terhadap Alam Barzakh dan keabadian. Mata hati yang
kuat tidak berhenti setakat Alam Barzakh, malah ia menghala kepada peringkat
alam yang lebih tinggi yang dinamakan Alam Malakut Atas. Pandangan mata hati
seterusnya sampai kepada kulit alam yang dinamakan Arasy Yang Meliputi.
Semua makhluk Allah
s.w.t menghuni ruang yang di dalam atau dibatasi oleh kulit atau kerangka alam,
iaitu Arasy. Tidak ada mahluk yang wujud di luar dari kulit alam. Walaupun
kulit alam merupakan kejadian Tuhan yang paling luar namun, mata hati tidak
berhenti setakat itu. Mata hati terus
meneroka ‘di luar’ dari kulit alam, yang dipanggil Wujud ketuhanan.
Di sini timbul
persoalan berat dan rumit untuk dihuraikan. Semua kejadian berada di dalam
kulit alam. Kulit alam adalah yang terakhir. Apabila sampai kepada kulit alam
tidak boleh lagi dikatakan wujud alam ketuhanan di luar, selepas, di sebalik
dan istilah-istilah lain, kerana tidak ada apa-apa lagi.
Kewujudan ketuhanan
bukanlah satu jenis alam lain. Tidak boleh dikatakan wujud alam ketuhanan selepas
alam kita ini. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak menempati ruang. Jika
demikian persoalannya bagaimanakah yang dikatakan ketuhanan sedangkan kita
sudah menjelajah ke seluruh alam maya namun, Allah s.w.t tidak juga ditemui?
Antara alam
yang sementara dengan alam abadi terdapat Alam Barzakh. Barzakh adalah
sempadan. Barzakh itulah yang menghubungkan dua keadaan yang berbeza. Misalnya,
barzakh bagi laut dan sungai ialah kuala. Air laut adalah masin dan air sungai
adalah tawar. Air pada barzakh keduanya iaitu kuala adalah sebatian masin
dengan tawar yang dinamakan payau. Payau bukan masin dan bukan lain daripada
masin. Payau juga bukan tawar dan bukan lain daripada tawar. Kuala bukan laut
dan bukan sungai dan bukan juga lain daripada laut dan sungai. Jika mahu lihat
laut dan sungai dengan sekali pandang atau sebagai satu kewujudan maka lihatlah
kepada kuala. Jika mahu merasai masin dan tawar sekaligus maka rasailah air
payau.
Jika terdapat
barzakh di antara makhluk dengan makhluk, terdapat juga barzakh di antara Tuhan
dengan makhluk. Barzakh inilah yang menjadi penghubung di antara Tuhan dengan
hamba. Tanpa barzakh ini tidak mungkin berlaku kewujudan makhluk yang
diciptakan Tuhan kerana tidak ada talian atau jambatan yang menghubung. Barzakh di antara Allah s.w.t dengan hamba
itu dinamakan Sir atau Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t, yang hanya Allah
s.w.t yang mengetahui hakikatnya yang sebenar.
Rahsia inilah yang memungkinkan ada hubungan di antara
Pencipta dengan yang di cipta. Sir atau Rahsia itu
memancarkan nurnya kepada mata hati. Mata hati yang bersuluhkan Nur Sir
(rahsia ketuhanan) akan mendapat pengenalan tentang Sir dan mengalami suasana
tauhid peringkat yang tertinggi. Apabila hakikat Sir ditemui nyatalah
firman Allah s.w.t:
Dan Kami adalah
lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, - ( Ayat 16 : Surah Qaaf )
Dan Ia tetap
bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )
“Padahal Allah yang
mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!”( Ayat 96 : Surah
as-Saaffaat )
Dan kamu
tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan
cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh
alam. ( Ayat 29 : Surah at-Takwiir)
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
Apa yang ada pada
kita semuanya adalah kurniaan dari Allah s.w.t. Kemahuan kita untuk melakukan amal salih datangnya dari Iradat Allah
s.w.t, tanpa Iradat Allah s.w.t kita akan menjadi dungu, tidak berkemahuan.
Apabila kita melakukan amal kebaikan, kita tidak terlepas
daripada menggunakan daya dan upaya yang datangnya dari Allah s.w.t. Tanpa
Kudrat Allah s.w.t kita tidak mampu bergerak. Kebolehan kita untuk berdoa dan
beramal adalah kurniaan daripada Allah s.w.t.
Mereka mengira
dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam
(tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): “Jangan kamu
mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan
kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan
budi-Nya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang
dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan
imannya). ( Ayat 17 : Surah al-Hujuraat )
Kehendak dan perbuatan kita adalah anugerah daripada Allah s.w.t. Jadi, apakah hak kita untuk menuntut
Allah s.w.t dengan doa dan amal kita. Memang benar Allah s.w.t berjanji
untuk mengabulkan semua doa dan mengurniakan sesuatu menurut amalan.
Tetapi, tidak
ada makhluk-Nya yang layak menagih janji tersebut. Janji Allah s.w.t
kembali kepada diri-Nya Sendiri. Jangan cuba-cuba menuntut janji Allah s.w.t
kerana andainya Dia menuntut kamu dengan amanah yang dipertaruhkan kepada kamu
nescaya semua amalan kamu akan hancur berterbangan seperti debu, tidak ada
walau sebesar zarah pun yang layak dipersembahkan kepada-Nya apabila kamu
dihadapkan kepada keadilan-Nya.
Lantaran itu berteduhlah di bawah payung rahmat dan
keampunan-Nya, jangan diungkit-ungkit tentang amal kamu dan janji-Nya.
Contohilah akhlak Rasulullah s.a.w yang telah menerima janji Allah s.w.t iaitu
baginda s.a.w telah bermimpi memasuki kota Makkah. Kaum muslimin percaya bahawa
mimpi Rasulullah s.a.w adalah mimpi yang benar dan mereka yakin bahawa itu
adalah janji Allah s.w.t kepada Rasul-Nya, yang Dia mengizinkan mereka
bersama-sama memasuki kota Makkah sekalipun musyrikin Quraisy masih menguasai
kota tersebut. Kaum muslimin berangkat dari Madinah ke Makkah.
Rombongan mereka
dihadang sebelum sampai di Makkah. Kaum musyrikin enggan membenarkan kaum
muslimin memasuki Makkah. Ekoran dari peristiwa itu termetrailah Perjanjian
Hudaibiah. Rasulullah s.a.w bersetuju agar kaum muslimin tidak memasuki Makkah
pada tahun itu.
Saidina Umar
al-Khattab r.a yakin akan mimpi Rasulullah s.a.w. Beliau r.a juga percaya
bahawa mimpi Rasulullah s.a.w itu adalah janji Allah s.w.t mengizinkan mereka
memasuki kota Makkah. Beliau r.a juga yakin bahawa lantaran janji Allah s.w.t
adalah benar maka bertegas memasuki Makkah walaupun dengan cara berperang
adalah tindakan yang benar. Beliau r.a menganjurkan agar berperang supaya
kebenaran mimpi Rasulullah s.a.w dan kebenaran janji Allah s.w.t menjadi
kenyataan. Iman Umar r.a yang sangat mendalam membuatnya mahu maju terus
menurut petunjuk yang sampai kepada beliau r.a. tanpa menoleh ke kanan atau ke
kiri.
Saidina Abu Bakar
as-Siddiq yang Nur Sirnya lebih sempurna daripada Nur Sir Umar r.a bersikap
menyetujui tindakan Rasulullah s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah. Melalui suluhan Nur Sirnya Abu Bakar r.a
dapat menyaksikan apa yang terlindung dari pandangan mata hati Umar r.a.
Kemudian ternyata
perjanjian tersebut banyak memberi manfaat kepada kaum muslimin. Ternyata
kebijaksanaan Rasulullah s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah dan kebenaran
pandangan mata hati Abu Bakar r.a melalui pancaran Nur Sirnya.
Sesuai dengan
Perjanjian Hudaibiah, pada tahun berikutnya kaum muslimin dapat memasuki
kota suci Makkah secara aman. Benarlah apa yang dimimpikan oleh
Rasulullah s.a.w dan benarlah janji Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menerima janji Allah s.w.t sebagai satu kurniaan
yang wajib diyakini dengan cara bertawakal kepada Allah s.w.t dalam
pelaksanaannya. Bila terjadi
sesuatu yang pada zahirnya menghalang pelaksanaan janji Allah s.w.t itu
Rasulullah s.a.w tidak menagih Allah s.w.t dengan janji tersebut, sebaliknya
baginda s.a.w mengembalikannya kepada Allah s.w.t.
Sebagai balasan
terhadap kerelaan menerima takdir Allah s.w.t maka Allah s.w.t kurniakan pula
Perjanjian Hudaibiah yang banyak membantu perkembangan dakwah Islam.
Allah s.w.t juga tidak sekali-kali melupakan janji-Nya mengizinkan kaum
muslimin menziarahi tanah suci Makkah, dengan rahmat-Nya kaum muslimin memasuki
kota Makkah pada tahun berikutnya dalam suasana aman. Jadi, apabila janji
Allah s.w.t dikembalikan kepada Allah s.w.t maka Allah s.w.t melaksanakannya.
Peristiwa di atas
memberi pengajaran kepada kita tentang Sir.
Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a melebihi
sahabat-sahabat yang lain lantaran Sirnya, iaitu
Rahsia pada hati nuraninya yang menghubungkannya dengan Allah s.w.t. Sir yang
menguasainya itulah yang menjadikannya as-Siddiq. Beliau r.a dapat membenarkan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w
tanpa usul. Beliau r.a membenarkan peristiwa Israk dan Mikraj ketika
kebanyakan kaum Quraisy menafikannya. Abu Bakar r.a bukanlah seorang dungu yang
bertaklid secara membuta tuli. Tetapi, apa yang sampai kepadanya diakui oleh
Sirnya yang memperolehi pengesahan daripada Allah s.w.t. Cahaya kebenaran yang
keluar daripada Rasulullah s.a.w dan cahaya kebenaran yang keluar dari Sir Abu
Bakar r.a adalah sama, sebab itulah Abu Bakar r.a membenarkannya tanpa usul dan
tanpa meminta bukti.
Bukti apa lagi yang diperlukan apabila Sir telah mendapat
jawapan daripada Allah s.w.t. Sir atau Rahsia Allah s.w.t itulah
yang tidak bercerai tanggal daripada Allah s.w.t, sentiasa menghadap kepada
Allah s.w.t dan mendengar Kalam Allah s.w.t. Sir itulah yang mengenal Allah
s.w.t
Kemurnian Sir Abu
Bakar as-Siddiq r.a ternyata lagi ketika kewafatan Rasulullah s.a.w. Umar r.a
yang dikuasai oleh iman yang sangat kuat yang melahirkan cinta yang mendalam
terhadap Rasulullah s.a.w, Kekasih Allah s.w.t, dikuasai kecintaan itu, beliau
r.a mahu memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan Rasulullah s.a.w sudah
wafat. Tetapi, Abu Bakar r.a, yang
kecintaannya terhadap Rasulullah s.a.w mengatasi kecintaan Umar r.a mampu
mengatakan, “Sesiapa yang menyembah Muhammad maka sesungguhnya Muhammad sudah
wafat. Sesiapa yang menyembah Allah s.w.t maka Allah s.w.t tidak akan wafat
selama-lamanya!”
Begitulah murninya cahaya atau nur yang diterima oleh Abu Bakar
r.a di dalam hatinya yang dipancarkan oleh Sir. Tidak salah jika dikatakan
sekiranya mahu memahami hakikat Sir maka fahamilah diri Saidina Abu Bakar as-
Siddiq r.a. Mengenali beliau r.a
membuat seseorang mengenali tanda-tanda Sir.
Kalam Hikmat
ketujuh ini memberi panduan untuk memahami hakikat Sir.
Tanda seseorang tidak mendapat sinaran Nur Sir
ialah dia meragui janji-janji Allah s.w.t lantaran dia mentakrif maksud janji
Allah s.w.t menurut seleranya sendiri. Bagaimana
kedudukan kita terhadap janji Allah s.w.t begitulah keadaan hati kita berhubung
dengan Rahsia Allah s.w.t atau Sir.
No comments:
Post a Comment