50: KESAN DARIPADA BUTA MATA HATI.
KEAJAIBAN YANG SANGAT AJAIB ADALAH ORANG YANG LARI DARI SESUATU YANG
TIDAK MUNGKIN DIA MELEPASKAN DIRI DARIPADA-NYA DAN DICARINYA SESUATU YANG TIDAK
MUNGKIN SENTIASA MENEMANINYA.
SESUNGGUHNYA BUKAN BUTA MATA YANG DI KEPALA TETAPI, BUTA MATA YANG DALAM
HATI.
Hikmat 45
menceritakan tentang tingkatan makrifat yang dicapai melalui penyaksian
mata hati. Makrifat melalui mata hati diperolehi dengan cara bertauhid. Hikmat
46 menggambarkan tentang tauhid yang tertinggi.
Tingkatan yang
tertinggi itu tidak mudah dicapai. Jalan
untuk mencapainya adalah dengan menghapuskan semua jenis syirik, yang kasar dan
yang halus.
Hikmat 47 hingga 49
menceritakan tentang syirik yang halus-halus, iaitu hati bukan setakat bergantung kepada Allah s.w.t sahaja tetapi
pada masa yang sama ia juga berharap kepada makhluk, lantaran kurang
keyakinannya kepada Allah s.w.t, atau kerana menyangkakan makhluk boleh
melakukan sesuatu yang memberi bekas kepada perjalanan takdir Ilahi.
Syirik yang
demikian dirumuskan oleh Hikmat 50 ini dengan mengatakan bahawa ia terjadi
akibat buta mata hati. Sekiranya mata hati dapat melihat tentu dilihatnya
bahawa dalam apa juga keadaan dia tidak terlepas dari Iradat dan Kudrat
Allah s.w.t.
Dia tidak akan
dapat melepaskan dirinya dari Allah s.w.t. Allah s.w.t mempunyai segala
sifat-sifat iftiqar yang menyebabkan sekalian makhluk-Nya tidak ada jalan
melainkan bergantung kepada-Nya.
Apabila Allah s.w.t
menciptakan makhluk maka dihukumkan makhluk itu berkehendak kepada-Nya, hanya
Dia yang kaya, tidak berkehendak kepada sesuatu apa pun. Para hamba yang insaf tunduk kepada hukum Allah s.w.t, lalu mereka
meletakkan pergantungan kepada-Nya semata-mata. Mereka tahu bahawa mereka tidak
mungkin dapat melepaskan diri daripada Allah s.w.t dan ketentuan-Nya.
Mereka juga tahu
bahawa mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri dari sesuatu yang Allah s.w.t
letakkan ke atas mereka. Apabila Allah s.w.t meletakkan beban ke atas hamba-Nya
maka hanya Dia sahaja yang mampu mengangkat beban itu daripadanya. Hamba dari
golongan inilah yang celik mata hati, sedangkan mereka yang buta mata hati
masih melihat makhluk sebagai sumber yang mendatangkan kesan. Mereka meminta
pertolongan sesama makhluk.
Mereka berharap
makhluk akan melepaskan mereka daripada beban yang sedang mereka pikul. Mereka
lupa bahawa makhluk yang kelihatan seolah-olah berkuasa memberi
kesan itu hanyalah lalu-lalang di hadapan mereka, tidak ada yang menemaninya. Makhluk hanya ejen yang singgah untuk
menyampaikan apa yang Allah s.w.t tentukan. Setelah tugas mereka selesai
maka berlalulah mereka dari situ. Berteman
dengan sesuatu yang datang seketika kemudian menghilang merupakan keputusan
yang tidak benar.
Lebih baik
bertemankan sahabat sejati yang tidak pernah berpisah walau satu detik pun,
tidak disentuh oleh mengantuk dan kelalaian dan tidak sekali-kali menghampakan
sesiapa yang bersahabat dengan-Nya.
Kalau kamu tidak
menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu
ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia
salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika
ia berkata kepada sahabatnya:
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete