56: AMAL, AHWAL DAN MAKAM.
BAIKNYA AMAL ADALAH HASIL DARI BAIKNYA AHWAL (HAL-HAL) DAN BAIKNYA AHWAL
ADALAH KERANA PENETAPAN MAKAM YANG DIKURNIAKAN ALLAH S.W.T.
Hikmat yang lalu
mengaitkan nilai amal dengan zuhud hati terhadap dunia. Hati yang zuhud tidak terlindung dari Nur Ilahi. Hati yang menerima
cahaya Nur Ilahi akan mendapat pengalaman kerohanian yang dinamakan ahwal
(hal-hal). Ahwal yang menetap pada
hati dinamakan makam.
Orang raghib yang
hatinya tertutup dari menerima sinaran Nur Ilahi tidak dapat mengalami ahwal.
Hati yang seperti ini tidak dapat bertahan bila menerima ujian. Jiwanya akan menjadi gelisah apabila
bermasalah.
Syaitan akan
menguasai hatinya sepenuhnya. Syaitan akan mengwujudkan gambar-gambar yang
menunjukkan cara-cara menyelesaikan masalah yang dihadapi. Cara yang paling
disarankan oleh syaitan ialah membunuh diri. Syaitan akan memberi gambaran
bahawa membunuh diri adalah penyelesaian yang paling baik dan paling suci.
Ada penganut beberapa
kepercayaan menganggap membunuh diri satu jenis jihad yang menyampaikan
seseorang ke syurga. Pahlawan Jepun dahulu kala membunuh diri jika gagal
melaksanakan perintah raja mereka. Wanita Hindu zaman dahulu terjun ke dalam
api yang sedang membakar mayat suaminya. Ada pula orang membunuh diri dengan
cara berlapar kerana kononnya berjuang menentang kezaliman. Ada orang yang
membunuh diri kerana ditinggalkan kekasih dan mereka berasa megah kerana nama
mereka akan diukir dalam sejarah sebagai kekasih yang setia. Semua perbuatan
tersebut dianggap suci oleh pelaku-pelakunya kerana mereka sudah memiliki
nilai kebenaran yang tersendiri, iaitu
kebenaran yang lahir dari kilauan cahaya api syaitan, bukan kebenaran yang
sejati.
Ahli zuhud
mengalami hal yang berbeza. Mereka juga menerima bala bencana seperti orang
lain, tetapi sebelum hamba-Nya yang dikasihi-Nya itu jatuh ke dalam jurang
kebinasaan, Allah s.w.t menyinarkan hati si hamba itu dengan Nur-Nya.
Hati zahid yang diterangi oleh Nur Ilahi akan mengalami satu suasana
yang dipanggil sabar. Aliran kesabaran berjalan di dalam hatinya
dan diteguhkan kedudukan kesabaran di dalam hatinya itu sehingga menjadi
keperibadiannya. Dia dikatakan mempunyai sifat sabar.
Walaupun tempuh
bala bencana sudah tamat, tetapi sifat sabarnya tidak hilang dan berguna dalam
menghadapi bencana yang lain pula. Kesabaran
yang sudah menjadi sifat hati itu bertindak sebagai tenaga yang menarik
sifat-sifat kebaikan yang lain supaya datang kepadanya. Kesabaran yang
datang bersama-sama bala bencana yang dihadapinya pertama dahulu dinamakan hal
dan kesabaran yang menetap sebagai sifatnya dinamakan makam. Apabila Allah
s.w.t mengurniakan hal kepada hamba-Nya, kemudian hal itu menetap menjadi
makam, akan terhasillah amal kebaikan yang berterusan, bukan setakat didatangi
hal itu sahaja.
Hal yang telah
menetap dan menjadi makam itu memperteguhkan hati sehingga ia mampu menerima
hal-hal yang lain pula. Hal-hal (ahwal)
yang datang kemudian itu menetap pula menjadi makam atau sifatnya yang berkekalan.
Begitulah hatinya dipenuhi oleh sifat-sifat kebaikan sehingga tidak ada lagi
sifat buruk pada hatinya.
Kehidupan dunia ini
merupakan medan buat manusia membentuk amalannya, iaitu amalan zahir dan amalan
batin. Amalan zahir banyak menyentuh aspek kehidupan di dalam dunia. Amalan
batin pula banyak menyentuh soal kehidupan sesudah meninggalkan dunia. Amalan batin lebih diutamakan kerana ia
mengandungi niat, iman, ikhlas, sabar, reda, tawakal, hanif dan lain-lain yang
menentukan nilai sesuatu amal itu.
Dialah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan
keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia adalah
Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang
bertaubat). (Ayat 2 : Surah al-Mulk)
Allah s.w.t
mendahulukan peringatan tentang maut daripada peringatan tentang hidup. Maut
hanya wujud pada kehidupan dunia ini. Pada kehidupan akhirat maut tidak ada.
Hidup yang
dibayangi oleh maut ini merupakan ujian. Hidup adalah kesempatan dan peluang
untuk membuat persiapan bagi melangkahi jambatan maut, pergi ke tempat yang
tidak ada amal dan tidak ada mati. Lihatlah kepada buku catatan amalan
masing-masing. Lihatlah kepada usia yang sudah berlalu. Mampukah amalan yang ada menyelamatkan diri sesudah menyeberangi
jambatan maut nanti?
Allah s.w.t bukakan
dua jalan kepada mereka yang masih ada hayat di dunia.
1).Jalan pertama
membawa mereka menemui Allah al-Aziz,
Maha Perkasa, Maha Keras (Maha Strict), tidak ada kasihan belas kepada
pesalah dan hukuman-Nya sangat berat.
2).Jalan kedua
membawa mereka menemui Allah al-Ghafur,
Maha Pengampun, Maha Bertolak-ansur, Maha Tidak Berkira, dimaafkan-Nya
segala dosa walau berapa banyak sekalipun.
Buatlah pilihan
ketika masih ada hayat dikandung badan.
Bagi mereka yang mahu menemui Allah al-Ghafur, Dia
memberitahukan caranya.
Seketika dia datang
kepada Tuhannya dengan hati yang suci murni. (Ayat 84 : Surah as-Saaffaat)
Mereka yang layak
berada di bawah naungan rahmat keampunan Allah s.w.t adalah mereka yang dengan kesucian hatinya
menyerahkan diri dan jiwa raganya kepada Tuhan.
Mereka menolak
segala bentuk pertuhanan yang selain Allah s.w.t. Mereka bersedia menjalankan apa jua perintah Allah s.w.t tanpa takwil.
Mereka adalah para hamba yang ikhlas
atau bertajrid iaitu melepaskan diri dari segala yang mengikat. Tidak ada
pergantungan, sandaran, tempat meminta, tempat berharap dan tempat mengadu
kecuali Allah s.w.t.
Mereka adalah para hamba yang masuk ke dalam urusan Allah s.w.t, dijaga
dan dipelihara oleh Tuhan. Orang yang dipelihara kesucian hatinya sehingga ke
akhir hayatnya itu akan kembali kepada Tuhannya dengan sejahtera.
No comments:
Post a Comment