5: MATA HATI YANG BUTA.
KERAJINAN KAMU UNTUK MEMPEROLEHI APA YANG TELAH TERJAMIN UNTUK KAMU DI
SAMPING KECUAIAN KAMU TERHADAP KEWAJIPAN YANG DIAMANATKAN MENUNJUKKAN BUTA MATA
HATI.
Hikmat 5 ini
merupakan lanjutan kepada Hikmat yang lalu. Imam Ibnu Athaillah menceritakan
kesan daripada hijab nafsu dan hijab akal yang menutup hati daripada melihat
kepada takdir yang menjadi ketentuan Allah s.w.t. Ada tiga perkara yang
dikemukakan untuk direnungi:
1.
Jaminan Allah s.w.t.
2.
Kewajipan hamba.
3.
Mata hati yang mengenal jaminan Allah s.w.t
dan kewajipan hamba.
4.
Penyingkapan rahsia
mata hati adalah penting bagi memahami Kalam Hikmat di atas. Mata hati ialah mata bagi hati atau boleh
juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati. Kadang-kadang
mata hati ini dipanggil sebagai mata dalam. Istilah ‘mata dalam’ digunakan bagi
membezakan istilah ini dengan mata yang zahir, iaitu yang dimiliki oleh diri
zahir.
Diri zahir terbentuk daripada daging, darah,
tulang, sumsum, rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini berkebolehan
untuk melihat, mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Diri zahir memperolehi
kehidupan dari perjalanan darah ke seluruh tubuhnya dan aliran nyawa dalam
bentuk wap atau gas yang keluar masuk melalui hidung dan mulut. Jika darahnya
dikeringkan atau dibekukan ataupun jika aliran wap yang keluar masuk itu
disekat maka diri zahir akan mengalami satu keadaan di mana sekalian
bahagiannya terhenti berfungsi dan ia dinamakan mati!
Diri zahir ini jika
disusun dapatlah dikatakan bahawa ia terdiri daripada tubuh dan nyawa serta
deria-deria yang dapat mengenal sesuatu yang zahiriah. Pusat kawalannya ialah
otak yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya timbang
atau akal fikiran.
Diri batin juga mempunyai susunan yang sama
seperti diri zahir tetapi dalam keadaan ghaib. Ia juga mempunyai tubuh yang
dipanggil kalbu atau hati. Hati yang
dimaksudkan bukanlah seketul daging yang berada di dalam tubuh. Ia
merupakan hati rohani atau hati seni. Ia bukan kejadian alam kasar, sebab
itu ia tidak dapat dikesan oleh pancaindera zahir. Ia termasuk di dalam perkara- perkara ghaib yang diistilahkan
sebagai Latifah Rabbaniah atau hal yang menjadi rahsia ketuhanan.
Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan. Ia juga
yang menjadi tilikan Tuhan. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang
dibahasakan sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah.
Ia adalah urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan
mengenainya.
Katakan: “Roh itu
dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan
sedikit sahaja”. (Ayat 85 : Surah Bani Israil)
Tubuh
seni atau hati seni juga mempunyai sifat yang berkemampuan mencetuskan
pemahaman dan pengetahuan. Ia dipanggil
akal yang juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah yang tidak mampu
dihuraikan. Akal jenis ini berguna bagi pengajian tentang ketuhanan.
Tubuh zahir
mempunyai deria-deria untuk mengenal perkara zahiriah. Deria-deria tersebut
dipanggil penglihatan, pendengaran, penciuman, perasaan dan penyentuhan dan
alat-alat yang bersangkutan ialah mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan
lain-lain. Tubuh seni atau diri
batin juga mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini dinamakan
basirah atau mata hati. Ia berbeza daripada sifat melihat yang dimiliki
oleh mata zahir. Mata zahir melihat perkara zahir dan mata hati syuhud atau menyaksikan kepada yang ghaib.
Apa yang ada di
sekeliling kita boleh dilihat melalui dua aspek iaitu yang nyata dilihat dengan
mata zahir dan yang ghaib dilihat dengan mata hati. Jika kita ambil satu buku
gula, mata kasar melihat sejenis hablur berwarna keputihan. Bila diletakkan pada lidah terasalah
manisnya. Ketika menikmati kemanisan itu kita seolah-olah memandang jauh kepada
sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Kelakuan merenung jauh itu
sebenarnya adalah terjemahan kepada perbuatan mata hati memandang kepada
hakikat gula iaitu manis. Bagaimana rupa manis tidak dapat diceritakan tetapi
mata hati yang melihat kepadanya mengenal bahawa gula adalah manis.
Jika mata zahir
melihat sebilah pedang, maka mata hati akan melihat pada tajamnya. Jika mata
zahir melihat kepada lada, mata hati melihat kepada pedasnya. Jadi, mata zahir
mengenal dan membezakan rupa yang zahir sementara mata hati mengenal dan
membezakan hakikat kepada yang zahir. Mata hati yang hanya berfungsi setakat
mengenal manis, tajam, pedas dan yang seumpamanya masih dianggap sebagai mata
hati yang buta. Mata hati hanya dianggap celik jika ia mampu melihat urusan
ketuhanan di sebalik yang nyata dan yang tidak nyata.
Kekuatan suluhan mata hati bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri.
Semakin bersih dan suci hati bertambah teranglah mata hati. Jika ia cukup
terang ia bukan sahaja mampu melihat kepada yang tersembunyi di sebalik rupa
yang zahir di sekeliling kita malah ia mampu melihat atau syuhud apa yang di
luar daripada dunia.
Dunia adalah segala
sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang pertama atau langit dunia atau
langit rendah. Langit rendah ini
merupakan sempadan dunia. Selepas langit dunia dinamakan Alam Barzakh.
Meninggal dunia membawa maksud roh yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai
lagi didiaminya atau dipanggil sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari
langit dunia dan ditempatkan di dalam Alam Barzakh.
Fungsi mata hati ialah melihat yang hakiki. Mata
hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu wujud akan mengenali
apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian mata hati bersifat
tidak dapat dinyatakan secara terang maka ia memerlukan ibarat untuk
mendatangkan kefahaman.
Ibarat yang biasa
digunakan bagi menceritakan tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah seorang
perempuan yang sangat tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan berpenyakit,
menanah di sana sini dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat ”. Begitulah
lebih kurang perasaan orang yang melihat kepada hakikat dunia dengan mata
hatinya. Bagaimana rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan dan ibarat
yang demikian tidak dapat dihuraikan.
Mata hati yang lebih kuat mampu pula menyaksikan Alam
Barzakh dan mengenali satu lagi
hakikat yang dinamakan keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian
membinasakan jasad dan kiamat membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak
membinasakan Roh yang padanya tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli
maksiat tidak dapat diselamatkan oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak
mendapat ganjaran yang setimpal di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian
dan kiamat.
Tanggungjawab
seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi kematian, Alam Barzakh, kiamat,
Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi Pemerintah hari pembalasan.
Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil
lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa menjatuhkan hukuman. Inilah hakikat yang ditemui oleh mata hati
yang menyelami Alam Barzakh, bukan melihat roh orang mati di dalam kubur.
Mata hati berfungsi
mengenal perkara yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau
hari akhirat akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah s.w.t
iaitu mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya.
Amanat itu akan
terus dibawa oleh para hamba untuk diserahkan kembali kepada Allah s.w.t yang
meletakkan amanat tersebut kepada mereka. Makrifat
mata hati yang demikian melahirkan sifat takwa dan beramal salih. Apabila takwa
dan amal salih menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam
jaminan Allah s.w.t.
Dialah Tuhan yang
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk
menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab
rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari
yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah). (
Ayat 13 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t
berfirman dalam Hadis Qudsi:
Hamba-Ku, taatilah semua perintah-Ku, jangan membeber keperluan kamu.
Allah s.w.t sebagai
Tuhan, Tuan atau Majikan tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawab-Nya untuk
memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya sementara hamba-hamba pula berkewajipan
mentaati Tuan mereka. Rezeki telah
dijamin oleh Allah s.w.t dan untuk mendapatkan rezeki tersebut seseorang hamba
hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya.
Jika dia seorang ahli asbab maka bekerjalah ke arah rezekinya dan jangan
iri hati terhadap rezeki yang dikurniakan kepada orang lain. Jika dia ahli tajrid maka bertawakallah
kepada Allah s.w.t dan jangan gusar jika terjadi kelewatan atau kekurangan
dalam urusan rezeki. Walau dalam makam manapun seseorang hamba itu
berada dia mesti melakukan kewajipan iaitu bersungguh-sungguh mentaati Allah
s.w.t dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hamba yang
terbuka mata hatinya akan percaya dengan yakin terhadap jaminan Allah s.w.t dan
tidak mencuaikan kewajipannya.
Hamba ini akan
melipat-gandakan kegiatan dan kerajinannya untuk bertakwa dan beramal salih
tanpa mencurigai jaminan Allah s.w.t tentang rezekinya.
Hamba yang buta
mata hatinya akan berbuat yang berlawanan iaitu dia tekun dan rajin di dalam
mencari rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan
tanggungjawab yang diamanatkan oleh Allah s.w.t. Orang ini akan menggunakan
daya usaha yang banyak untuk memperolehi rezeki yang boleh didapati dengan daya
usaha yang sederhana tetapi menggunakan daya usaha yang sedikit dengan harapan
untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin didapati kecuali dengan daya usaha
yang gigih dan perjuangan yang hebat iaitu pahala-pahala bagi amal salih.
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete