13: HIJAB YANG HALANG PERJALANAN.
BAGAIMANA HATI AKAN DAPAT DISINARI SEDANGKAN GAMBAR-GAMBAR ALAM MAYA
MELEKAT PADA CERMINNYA, ATAU BAGAIMANA MUNGKIN BERJALAN KEPADA ALLAH
S.W.T SEDANGKAN DIA MASIH DIBELENGGU OLEH SYAHWATNYA, ATAU BAGAIMANA AKAN MASUK
KE HADRAT ALLAH S.W.T SEDANGKAN DIA MASIH BELUM SUCI DARI JUNUB KELALAIANNYA,
ATAU BAGAIMANA MENGHARAP UNTUK MENGERTI RAHSIA-RAHSIA YANG HALUS SEDANGKAN DIA
BELUM TAUBAT DARI DOSANYA (KELALAIAN, KEKELIRUAN DAN KESALAHAN).
Hikmat 12 memberi
penekanan tentang uzlah iaitu mengasingkan diri. Hikmat 13 ini pula memperingatkan bahawa ‘uzlah tubuh badan sahaja
tidak memberi kesan yang baik jika hati tidak ikut ber’uzlah. Walaupun
tubuh badan dikurung hati masih boleh disambar oleh empat perkara:
1. Gambaran,
ingatan, tarikan dan keinginan terhadap benda-benda alam seperti harta,
perempuan, pangkat dan lain-lain.
2. Kehendak
atau syahwat yang mengarahkan perhatian kepada apa yang dikehendaki.
3. Kelalaian
yang menutup ingatan terhadap Allah s.w.t.
4. Dosa
yang tidak dibasuh dengan taubat masih mengotorkan hati.
Diri manusia
tersusun daripada anasir tanah, air, api dan angin. Ia juga diresapi oleh
unsur-unsur alam seperti galian, tumbuh-tumbuhan, haiwan, syaitan dan malaikat.
Tiap-tiap anasir dan unsur itu menarik hati kepada diri masing-masing. Tarik
menarik itu akan menimbulkan kekacauan di dalam hati.
Kekacauan itu pula
menyebabkan hati menjadi keruh. Hati yang keruh tidak dapat menerima sinaran
nur yang melahirkan iman dan tauhid. Mengubati kekacauan hati adalah penting
untuk membukakannya bagi menerima maklumat dari Alam Malakut. Hati yang kacau
itu boleh distabilkan dengan cara menundukkan semua anasir dan unsur tadi
kepada syariat. Syariat menjadi tali
yang dapat mengikat musuh-musuh yang cuba menawan hati. Penting bagi
seorang murid yang menjalani jalan kerohanian menjadikan syariat sebagai payung
yang mengharmonikan perjalanan anasir-anasir dan daya-daya yang menyerap ke
dalam diri agar cermin hatinya bebas daripada gambar-gambar alam maya.
Bila cermin hati
sudah bebas daripada gambar-gambar dan tarikan tersebut, hati dapat menghadap
ke Hadrat Ilahi.
Selain tarikan
benda-benda alam, hati boleh juga tunduk kepada syahwat. Syahwat bukan sahaja
rangsangan hawa nafsu yang rendah. Semua
bentuk kehendak diri sendiri yang berlawanan dengan kehendak Allah s.w.t adalah
syahwat. Kerja syahwat adalah mengajak manusia supaya lari dari hukum dan
peraturan Allah s.w.t serta membangkang takdir Ilahi.
Syahwat membuat manusia tidak reda dengan keputusan Allah s.w.t.
Seseorang yang mahu menuju Allah s.w.t perlulah melepaskan dirinya dari
belenggu syahwat dan kehendak diri sendiri, lalu masuk ke dalam benteng
aslim iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t dan reda dengan takdir-Nya.
Perkara ke tiga
yang dibangkitkan oleh Hikmat
ke tiga belas ini ialah kelalaian yang diistilahkan sebagai junub batin. Orang
yang berjunub adalah tidak suci dan dilarang melakukan ibadat atau memasuki
masjid. Orang yang berjunub batin pula tertegah dari memasuki Hadrat Ilahi.
Orang yang di dalam junub batin iaitu lalai hati, kedudukannya seperti orang
yang berjunub zahir, di mana amal ibadatnya tidak diterima.
Allah s.w.t
mengancam untuk mencampakkan orang yang bersembahyang dengan lalai (dalam
keadaan berjunub batin) ke dalam neraka wil. Begitu hebat sekali ancaman
Allah s.w.t kepada orang yang menghadap-Nya dengan hati yang lalai.
Mengapa begitu
hebat sekali ancaman Allah s.w.t kepada orang yang lalai? Bayangkan hati itu
berupa dan berbentuk seperti rupa dan bentuk kita yang zahir. Hati yang khusyuk
adalah umpama orang yang menghadap Allah s.w.t dengan mukanya, duduk dengan
tertib, bercakap dengan sopan santun dan tidak berani mengangkat kepala di
hadapan Maharaja Yang Maha Agung.
Hati yang lalai pula adalah umpama orang yang menghadap dengan
belakangnya, duduk secara biadab, bertutur kata tidak tentu hujung pangkal dan
kelakuannya sangat tidak bersopan. Perbuatan demikian adalah satu
penghinaan terhadap martabat ketuhanan Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi.
Jika raja didunia
murka dengan perbuatan demikian maka Raja kepada sekalian raja-raja lebih
berhak melemparkan kemurkaan-Nya kepada hamba yang biadab itu dan layaklah jika
si hamba yang demikian dicampakkan ke dalam neraka wil. Hanya hamba yang khusyuk, yang tahu bersopan santun di hadapan Tuhannya
dan mengagungkan Tuhannya yang layak masuk ke Hadrat-Nya, sementara hamba yang
lalai, tidak tahu bersopan santun tidak layak mendekati-Nya.
Perkara yang ke empat adalah dosa-dosa yang belum ditebus
dengan taubat. Ia menghalang seseorang daripada memahami
rahsia-rahsia yang halus-halus. Pintu kepada Perbendaharaan Allah s.w.t
yang tersembunyi adalah taubat!
Orang yang telah
menyuci-bersihkan hatinya hanya mampu berdiri di luar pintu Rahsia Allah s.w.t
selagi dia belum bertaubat, samalah seperti orang yang mati syahid yang belum
menjelaskan hutangnya terpaksa menunggu di luar syurga.
Jika dia mahu masuk
ke dalam Perbendaharaan Allah s.w.t yang tersembunyi yang mengandungi rahsia
yang halus-halus wajiblah bertaubat.
Taubat itu sendiri merupakan rahsia yang halus. Orang yang tidak memahami rahsia taubat tidak akan mengerti mengapa
Rasulullah s.a.w yang tidak pernah melakukan dosa masih juga memohon keampunan
sedangkan sekalipun baginda s.a.w berdosa semuanya diampunkan Allah
s.w.t. Adakah Rasulullah s.a.w
tidak yakin bahawa Allah s.w.t mengampunkan semua dosa-dosa dan
kesalahan-kesalahan baginda s.a.w (jika ada)?
Maksud taubat ialah kembali, iaitu kembali kepada Allah s.w.t. Orang
yang melakukan dosa tercampak jauh daripada Allah s.w.t. Walaupun orang ini
sudah berhenti melakukan dosa malah dia sudah melakukan amal ibadat dengan
banyaknya namun, tanpa taubat dia tetap
tinggal berjauhan dari Allah s.w.t. Dia telah masuk ke dalam golongan hamba
yang melakukan amal salih tetapi yang berjauhan bukan berdekatan dengan Allah
s.w.t.
Taubat yang lebih
halus ialah pengayatan kalimat:
Tiada daya dan upaya melainkan anugerah Allah s.w.t.
Kami datang dari Allah s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.
Segala sesuatu
datangnya dari Allah s.w.t, baik kehendak mahupun perbuatan kita. Sumber yang
mendatangkan segala sesuatu adalah Uluhiyah (Tuhan) dan yang menerimanya adalah
ubudiyah (hamba).
Apa sahaja yang
dari Uluhiyah adalah sempurna dan apa sahaja yang terbit dari ubudiyah adalah
tidak sempurna. Uluhiyah membekalkan kesempurnaan tetapi ubudiyah tidak dapat
melaksanakan kesempurnaan itu.
Jadi, ubudiyah
berkewajipan mengembalikan kesempurnaan itu kepada Uluhiyah dengan memohon
keampunan dan bertaubat sebagai menampung kecacatan. Segala urusan dikembalikan
kepada Allah s.w.t. Semakin tinggi makrifat seseorang hamba semakin kuat
ubudiyahnya dan semakin kerap dia memohon keampunan dari Allah s.w.t,
mengembalikan setiap urusan kepada Allah s.w.t, sumber datangnya segala urusan.
Apabila hamba mengembalikan urusannya kepada Allah s.w.t maka Allah
s.w.t sendiri yang akan mengajarkan Ilmu-Nya yang halus-halus agar kehendak
hamba itu bersesuaian dengan Iradat Allah s.w.t, kuasa
hamba sesuai dengan Kudrat Allah s.w.t, hidup hamba sesuai dengan Hayat Allah
s.w.t dan pengetahuan hamba sesuai dengan Ilmu Allah s.w.t, dengan itu jadilah
hamba mendengar kerana Sama’ Allah s.w.t, melihat kerana Basar Allah s.w.t dan
berkata-kata kerana Kalam Allah s.w.t. Apabila semuanya berkumpul pada seorang
hamba maka jadilah hamba itu Insan Sirullah (Rahsia Allah s.w.t).
SubhanaLLoh walhamduliLLah
ReplyDelete