114: NUR SIFAT ALLAH S.W.T MENERANGI RAHSIA HATI.
DITERANGI-NYA YANG ZAHIR DENGAN CAHAYA ATHAR DAN DITERANGI-NYA RAHSIA HATI DENGAN NUR SIFAT-NYA. OLEH SEBAB ITU TERBENAM CAHAYA TERANG YANG ZAHIR TETAPI TIDAK TERBENAM CAHAYA KALBU DAN SIR (HATI DAN RAHSIA HATI).
BERKATA
ORANG BIJAK PANDAI : “ MATAHARI SIANG TERBENAM PADA WAKTU MALAM TETAPI MATAHARI
HATI TIDAK TERBENAM.”
Makhluk ini asalnya
‘adam (tidak ada). ‘Adam menerima kewujudan dari kesan perbuatan Allah s.w.t.
Ada perbezaan antara perbuatan dengan kesan perbuatan. Misalnya, melukis adalah
perbuatan dan lukisan adalah kesan perbuatan. Kesan kepada perbuatan adalah
baharu sementara perbuatan pula menunjukkan sifat si pembuat. Perbuatan tidak
berpisah daripada sifat dan sifat tidak berpisah daripada zat atau diri yang
berkenaan. Kesan perbuatan tidak sedikit pun menyamai sifat yang asli.
Kewujudan yang lahir dari kesan perbuatan Allah s.w.t tidak sedikit pun
menyamai sifat Allah s.w.t. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t, termasuklah
perbuatan-Nya adalah:
Kewujudan baharu
yang menjadi kesan kepada perbuatan Allah s.w.t dinamakan athar. Alam semesta
adalah athar. Tidak ada dari kalangan athar yang boleh dijadikan gambaran,
ibarat atau lukisan untuk menceritakan tentang Pencipta athar. Kewujudan athar
hanya boleh dijadikan dalil untuk menunjukkan Wujud Maha Pencipta. Jika tidak
ada tindakan dari Maha Pencipta tentu tidak ada kewujudan yang menjadi kesan
dari tindakan tersebut.
Ahli ilmu
merumuskan wujud alam menjadi bukti wujudnya Tuhan. Alam boleh menjadi bahan
bukti kerana sifatnya yang boleh dilihat dan ada kenyataan mengenainya Ia
menjadi nyata kerana ia diterangi oleh cahaya dan cahaya yang meneranginya
adalah bahagian daripada athar juga. Matahari, bulan dan bintang adalah athar
yang berkeupayaan memberikan cahaya. Sifat athar adalah berubah-ubah,
tidak menetap. Cahaya yang keluar darinya juga berubah-ubah, dari terang kepada
malap dan seterusnya terbenam. Allah s.w.t berfirman:
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yaqin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?”
Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), ia berkata: “Inikah Tuhanku?”
Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah ia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila ia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah ia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”.
Setelah matahari terbenam, ia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). (Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam)
Ibrahim a.s mencari
Tuhan dengan matanya bersuluhkan cahaya-cahaya athar. Beliau a.s kecewa kerana
semua cahaya itu tidak menetap dan tidak bertahan. Lalu beliau a.s meninggalkan
cahaya athar dan menghadapkan hati serta Rahsia hatinya kepada Maha Pencipta.
Baharulah beliau a.s mendapat keyakinan yang teguh kerana cahaya yang menerangi
hati dan Rahsia hatinya tidak berubah, tidak pudar dan tidak terbenam. Beliau
a.s melihat dengan jelas bahawa athar tetap athar, tidak ada satu pun yang
boleh disekutukan atau disifatkan kepada Tuhan.
Kekeliruan tentang
Tuhan terjadi kerana manusia melihat kesan perbuatan Tuhan sebagai perbuatan,
kemudian meletakkan hukum bahawa perbuatan tidak berpisah daripada sifat dan
sifat tidak berpisah daripada zat. Oleh sebab itu perbuatan juga zat. Jika zat
menjadi Tuhan maka perbuatan juga Tuhan dan apa yang terbit dari perbuatan juga
Tuhan. Begitulah kesesatan yang terjadi akibat percubaan melihat Tuhan dengan
suluhan cahaya athar dan menggunakan hukum logik matematik.
Seseorang haruslah
melihat kepada asalnya iaitu ‘adam (tidak wujud). ‘Adam adalah lawan bagi
Wujud. Jika manusia berpaling kepada ‘adam maka dia akan terhijab dari Wujud
Allah s.w.t. Pandangannya akan diliputi oleh athar yang juga datang dari ‘adam.
Tidak mungkin manusia menemui jalan yang sebenar jika mereka melalui jalan yang
berdasarkan asal kejadiannya iaitu ‘adam. Tuhan adalah Wujud, mustahil ‘adam.
Wujud-Nya Esa, tidak berbilang sedangkan wujud athar yang dari ‘adam
berbilang-bilang. ‘Adam tetap tidak ada walaupun banyak makhluk yang diciptakan
daripadanya. Penciptaan yang demikian tidak menambahkan Wujud. Walau sebanyak
mana pun makhluk yang diciptakan namun, Allah s.w.t tetap Esa. Usaha untuk
menemui keesaan Wujud Allah s.w.t dengan menuruti jalan ‘adam adalah sia-sia.
Kewujudan aspek kedua mestilah disingkap jika Allah s.w.t mahu ditemui.
Kewujudan yang perlu disingkapkan itu adalah yang berhubung dengan Wujud Allah
s.w.t, bukan yang datangnya dari ‘adam. Kewujudan yang berhubung dengan Wujud
Allah s.w.t itu adalah rohani. Firman-Nya:
(Ingatlah
peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak
menciptakankan manusia – Adam -dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan
kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu
sujud kepadanya”. (Ayat 71 – 72 : Surah Shaad)
Roh adalah amr
(urusan atau perintah) Allah s.w.t, tidak termasuk dalam golongan yang
diperintah. Malaikat, jin dan lain-lain termasuk dalam golongan yang
diperintah. Roh manusia adalah satu Rahsia Allah s.w.t. Ia dinisbahkan kepada
Allah s.w.t, bukan kepada ‘adam. Pada tahap amr (urusan) Tuhan ia dipanggil Sir
(Rahsia Allah s.w.t), atau Rahsia hati. Pada tahap berkait dengan jasad ia
dinamakan kalbu atau hati. Semua kualiti yang baik adalah berkait dengan toh
dan semua kualiti yang jahat berkait dengan ‘adam.
Jika alam maya diterangi
oleh cahaya athar, hati dan rahsia hati yang dinisbahkan kepada roh urusan
Tuhan, diterangi oleh nur sifat Allah s.w.t. Kualiti hati dan rahsia hati
adalah mengenal. Nur sifat Allah s.w.t itulah yang menerangi hati untuk
menyaksikan kepada Tuhannya.
Hati orang arifbillah yang diterangi oleh nur
sifat Allah s.w.t tidak lagi dikelirukan oleh cahaya athar dan benda-benda yang
dipamerkan.
Mata hati menyaksikan Rububiyah pada segala perkara. Zahirnya sibuk
dengan makhluk, hatinya menyaksikan Rububiyah dan Sirnya (rahsia hati) tidak
berpisah daripada Allah s.w.t walau sedetik pun.
Sir yang menerima
sinaran Nur Sifatullah membawa sifat-sifat yang menceritakan
tentang Sifat Allah s.w.t yang menyinarinya. Manusia pilihan yang diheret oleh
Sir tersebut akan memakai sifat-sifat yang menceritakan hubungannya dengan
Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w dikenali sebagai Habiballah; Nabi Isa a.s
sebagai Roh Allah; Nabi Musa a.s sebagai Kalim Allah; Nabi Ibrahim a.s sebagai
Khalil Allah.
Manusia yang bukan nabi juga menerima pimpinan Sir yang menerima
sinaran Nur Sifatullah dan dengan yang demikian mereka dikenali. Abu Bakar
dikenali sebagai as-Siddik dan Hamzah sebagai Singa Allah. Manusia lain pula
ada yang dikenali sebagai Abdul Malik, Abdul Wahab, Abdul Karim, Abdul Latif
dan lain-lain. Hamba-hamba pilihan itu mendapat gelaran yang dihubungkan dengan
Allah s.w.t kerana Sir mereka disinari oleh Nur Sifatullah, sebagai
persediaan buat mereka menanggung amanah Allah s.w.t. Firman-N ya:
Dan (ingatkanlah
peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq serta Nabi Ya’aqub,
yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang
mendalam (memahami agamanya). Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci
bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa
memperingati negeri akhirat. Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami adalah
orang-orang pilihan yang sebaik-baiknya. Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi
Ismail dan Nabi Alyasa’, serta Nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah
dari orang-orang yang sebaik-baiknya. (Ayat 45 – 48 : Surah Saad)
.
No comments:
Post a Comment