79: WARID TERJADI SECARA TIBA-TIBA.
TIDAK TERJADI WARID (KURNIAAN) YANG LANGSUNG DARI ALLAH S.W.T
KECUALI SECARA MENDADAK SUPAYA TIDAK DIDAKWA OLEH PARA HAMBA BAHAWA DIA
MENERIMANYA KERANA ADA PERSIAPANNYA.
Allah s.w.t adalah
Maha Esa, tidak ada sesuatu bersekutu dengan-Nya. Dia tidak bersekutu dengan
amal hamba-Nya, ilmu hamba-Nya, doa hamba-Nya, hajat hamba-Nya, rencana
hamba-Nya, persiapan hamba-Nya dan apa sahaja yang zahir serta yang batin.
Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, Dia tidak terikat kepada sebab dan akibat.
Kurniaan yang besar
untuk seseorang hamba-Nya adalah si hamba itu dipertemukan dengan hakikat
bahawa Allah s.w.t Maha Berdiri Dengan Sendiri. Pertemuan dengan sifat ini
membuat si hamba mengenali akan keesaan Allah s.w.t.
Salah satu cara Allah s.w.t memperkenalkan sifat Berdiri-Nya Dengan
Sendiri kepada hamba-Nya adalah dengan memberikan kurniaan-Nya kepada hamba-Nya
secara tiba-tiba hingga kurniaan itu tidak boleh disebabkan kepada sesuatu
melainkan dinisbahkan kepada Allah s.w.t sahaja. Allah s.w.t
berfirman:
Dialah Yang Awal
dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dialah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu. (Ayat 3 : Surah al-Hadiid)
Dia Yang Awal tanpa
permulaan, Yang Akhir tanpa kesudahan, Yang Zahir ada kenyataan-Nya pada
makhluk dan Yang Batin tersembunyi dari makhluk-Nya. Dia mengetahui amal hamba-Nya sebelum
si hamba itu beramal.
Dia mengetahui doa hamba-Nya sebelum si hamba itu berdoa.
Dia mengetahui ilmu
hamba-Nya sebelum si hamba itu berpengetahuan.
Bahkan Dia
mengetahui gerak dan diam hamba-Nya sebelum si hamba itu diciptakan. Yang
awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin tidak terlepas dari pengetahuan-Nya
kerana Ilmu-Nya adalah Ilmu Yang Awal, Ilmu Yang Akhir, Ilmu Yang Zahir dan
Ilmu Yang Batin.
Segala sesuatu itu telah ada dalam Ilmu-Nya dan tetap ada
dalam Ilmu-Nya tanpa tertakluk kepada penciptaan makhluk-Nya.
Tidak ada sesuatu
kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang
menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami)
sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah
mudah bagi Allah s.w.t. (Ayat 22 : Surah al-Hadiid)
Tarikan yang
langsung dari Allah s.w.t menghela pandangan mata hati daripada benda-benda
alam dan kejadian alam kepada Pencipta alam, Pengatur segala urusan. Beginilah Allah s.w.t memperkenalkan
Diri-Nya kepada hamba-Nya. Proses ini dinamakan pengalaman hakikat yang
menghasilkan makrifat.
Ilmu tentang
hakikat atau biasanya dipanggil ilmu hakikat, dinamakan juga ilmu Rabbani (ilmu
yang dinisbahkan kepada ketuhanan) atau ilmu laduni (ilmu yang diterima secara
langsung dari Allah s.w.t), tidak didapati dengan belajar atau dengan beramal.
Tidak ada jalan atau persiapan yang memastikan seseorang akan
memperolehinya. Ia adalah semata-mata kurniaan dari Allah s.w.t. Hanya
Allah s.w.t yang layak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya. Hanya Allah
s.w.t yang mengetahui siapakah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang layak
mengenali-Nya. Hanya Allah s.w.t yang berhak menetapkan bila dan bagaimana Dia
harus dikenali.
Bila Allah s.w.t
berkehendak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya disampaikan kepada
hamba-Nya itu ilmu hakikat, ilmu Rabbani atau ilmu laduni. Tiba-tiba sahaja Nur
Ilahi menerangi hati si hamba itu dan terbukalah mata hatinya untuk syuhud
kepada Tuhannya.
Hamba itu pun berpengetahuan
bahawa Ilmu Allah s.w.t yang sempurna meliputi sejak azali hingga kepada tiada
kesudahan. Dia pun berpengetahuan bahawa Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri,
tidak ada sesuatu apa pun yang ikut campur dalam urusan-Nya.
Dia pun
berpengetahuan tentang keesaan Allah s.w.t. Semakin mendalam makrifatnya
semakin luas pula ilmu pengetahuannya, bertambah teguhlah pegangan tauhidnya.
No comments:
Post a Comment