41: DIRI YANG TERHIJAB, ALLAH S.W.T TIDAK DIHIJAB.
AL-HAQ (ALLAH S.W.T) TIDAK TERHIJAB OLEH SESUATU APA PUN, SEBALIKNYA
KAMULAH YANG TERHIJAB DARI MELIHAT KEPADA-NYA.
JIKA ALLAH S.W.T DIHIJAB OLEH SESUATU TENTU SESUATU ITU DAPAT MENUTUP
ALLAH S.W.T. JIKA ADA SESUATU YANG
MENUTUP ALLAH S.W.T BERMAKNA WUJUDNYA DAPAT DIKURUNG OLEH SESUATU.
SESUATU YANG MENGURUNG ADALAH LEBIH BERKUASA DARI YANG DIKURUNG,
SEDANGKAN ALLAH S.W.T BERKUASA ATAS SEMUA HAMBA-NYA.
Dunia dan akhirat
dan semua yang ada di antara kedua-duanya adalah makhluk yang memenuhi alam.
Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah makhluk dan mengambil tempat
masing-masing di dalam alam.
Makhluk ciptaan
Allah s.w.t bukan setakat manusia, jin, malaikat, Kursi dan Arasy sahaja bahkan
kehendak, cita-cita, angan-angan, khayalan, bahasa, ibarat dan ilmu pengetahuan
juga termasuk dalam istilah makhluk yang Allah s.w.t ciptakan.
Oleh sebab Allah
s.w.t tidak serupa dengan sesuatu maka Dia tidak boleh dibahasakan,
diibaratkan, disifatkan, dikhayalkan dan lain-lain. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah hijab yang menutup pandangan
mata hati dari melihat Allah s.w.t, walaupun Allah s.w.t tidak memakai tutupan.
Nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan adalah juga hijab.
Sekiranya ada orang
yang mampu berkenderaan menjelajah ke seluruh alam maya untuk mencari Allah
s.w.t nescaya Allah s.w.t tidak akan ditemuinya kerana Dia bukan anasir alam.
Sekiranya mereka
mencari dengan menggunakan bahasa maka Allah s.w.t juga tidak akan ditemui
kerana Dia tidak ditakluki oleh hukum
bahasa dan ibarat. Ilmu pengetahuan juga tidak sanggup mencapai Yang
Esa kerana ilmu masih terikat kepada menyaksikan dan disaksikan iaitu suasana serba
dua.
Ilmu tidak mampu
sampai kepada Yang Esa, yang sama menyaksikan dan disaksikan.
1).Nama-nama juga
hijab kerana tidak mampu menzahirkan Yang Empunya nama. Sifat-sifat juga tidak
mampu menzahirkan zat.
2).Sifat hanyalah
sekadar memperihalkan bagi menggerakkan pemahaman sahaja, sedangkan Dia Maha
Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan.
Setelah gagal
mencari dalam semua itu seseorang akan sampai ke puncak pencariannya iaitu
kejahilan tentang Dzat Ilahiat dan inilah yang dinamakan makrifat. Orang yang sampai di sinilah yang dipanggil
orang yang mengenal Allah s.w.t.
Sekiranya
ilmu mampu melepaskan kita dari medan ilmu, kita akan sampai kepada medan
makrifat. Jika kita bersatu dengan
ilmu, kita akan terhijab. Ilmu mesti dijadikan kenderaan menuju kepada
makrifat. Diri kita tidak boleh disatukan dengan ilmu. Apabila kita tiba kepada makrifat kita akan tercengang-cengang
menghadapi hijab kejahilan.
Kita terpaksa
mengakui bahawa Dzat Ilahiat tidak dapat
diperkatakan dan tidak dapat disifatkan. Orang yang sampai kepada
perhentian ini tidak ada jalan lagi baginya untuk sampai kepada Allah s.w.t
melainkan menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan menanggalkan apa sahaja
yang dianggapnya boleh menyampaikannya kepada Allah s.w.t.
Maka keluarlah dia
dari apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Dibuangnya segala hijab-hijab yang
menutupi mata hatinya. Dia keluar
dari ilmunya, amalnya, makrifatnya, sifatnya, namanya, bahasa dan ibarat.
Pelepasan yang menyeluruh ini adalah
pintu masuk ke Hadrat-Nya dan dia masuk dengan kekuatan Nurullah, iaitu tarikan
yang langsung dari Allah s.w.t.
Nur berlapis nur,
Allah memimpin sesiapa yang di kehendaki-Nya (menurut undang-undang dan
peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu. (Ayat 35 : Surah an-Nur)
Makhluk tidak akan
zahir jika tidak ada Nur-Nya. Makrifat tidak mungkin dicapai tanpa suluhan
Nur-Nya. Ilmu tidak mungkin diperolehi tanpa penerangan Nur-Nya.
Mata hati tidak
mungkin boleh melihat tanpa pancaran cahaya Nur-Nya. Allah s.w.t memimpin kepada Nur-Nya siapa yang Dia kehendaki. Orang
yang dipimpin kepada Nur-Nya adalah
orang yang mampu keluar dari hijab nafsu dan akal.
A].Nafsu
ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada keinginan dan cita-cita
melainkan mahu bertemu dengan Allah s.w.t.
B].Akal ditundukkan
kepada yang hak sehingga tidak ada yang difikir dan direnungi melainkan Wajah
Allah s.w.t jua yang menyata pada semua arah. Walau ke arah mana pun dihalakan
pandangan akal dan pandangan hati, Wajah Allah s.w.t jua yang kelihatan.
No comments:
Post a Comment