88: HARAPAN DAN ANGAN-ANGAN.
Harapan dan
angan-angan adalah dua perkara yang serupa tetapi datang melalui saluran
yang berlainan, lalu meninggalkan kesan yang berbeza.
Segala perkara yang
datangnya dari Kudrat dan Iradat Allah s.w.t akan diasingkan apabila sampai ke
perbatasan langit dunia. Sebahagiannya diserahkan kepada dunia dan sebahagian
lagi dipelihara daripada gangguan dunia. Apa sahaja yang diserahkan melalui
dunia akan melahirkan kekeliruan dan keraguan serta menutup kebenaran. Apa yang
tidak diusik oleh dunia akan tetap berada dalam kesucian yang murni dan tidak
putus dari tali kebenaran.
Sesiapa yang
menerima hidangan dari dunia akan menerima kesannya iaitu gambar-gambar
sangkaan dan khayalan. Salah satu kesan yang didatangkan oleh dunia adalah
angan-angan. Angan-angan adalah sejenis alam khayalan yang berada di bawah
bumbung langit dunia.
Di dalam alam ini
seseorang itu boleh mendapatkan apa sahaja dengan cara berkhayal, dan yang
diperolehi dari khayalan itu menimbulkan sejenis kelazatan atau kepuasan kepada
nafsu orang yang berkenaan. Misalnya, seorang pemuda yang tergilakan seorang
gadis, boleh mendapatkan gadis itu di dalam alam khayal dan berbuat apa sahaja
yang mendatangkan kelazatan dan kepuasan. Alam khayalan ini juga yang menyambut
penagih-penagih dadah dan peminum arak. Banyaklah yang boleh didapati di dalam
alam khayalan, tetapi apabila kesedaran datang semula seseorang itu akan
berpisah daripada semua yang dimilikinya di dalam alam khayalan tadi. Kelazatan
di sana boleh dinikmati di sana sahaja, tidak boleh dibawa kepada alam nyata
ini.
Pada saluran yang
tidak diganggu oleh dunia, perkara yang berbeza terjadi. Apabila seseorang memperolehi kurniaan dari Allah s.w.t yang tidak
dikotori oleh dunia, akan lahirlah satu tenaga di dalam dirinya yang dinamakan
harapan. Jika angan-angan mengheret seseorang kepada alam khayalan, harapan
pula mengemaskan kedudukannya berpijak di atas bumi kenyataan. Tenaga harapan adalah tenaga yang
datangnya dari Allah s.w.t. Pengurniaan tenaga harapan adalah tanda bahawa si
hamba itu diasingkan daripada kekufuran kerana tidak berputus asa melainkan
orang kafir.
Tenaga harapan
menjadi benteng memisahkan iman daripada kufur. Orang yang memperolehinya
sebenarnya mendapat taufik dan hidayat dari Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t
mengurniakan kepada hamba-Nya harapan itu tandanya yang Dia berkenan membawa si
hamba itu kepada apa yang diharapkan. Tenaga harapan akan menggerakkannya
menuju kepada apa yang disediakan untuknya. Pergerakan atau amal tidak
terpisah daripada tenaga harapan. Jauh sekali perbezaan antara orang
yang berharap dengan orang yang berangan-angan.
Rasulullah s.a.w bersabda:
Rasulullah s.a.w bersabda:
ORANG BODOH ADALAH
YANG MEMPERTURUTKAN HAWA NAFSUNYA DAN BERANGAN-ANGAN MENDAPATKAN SYURGA DARI
ALLAH S.W.T. (MAKSUD HADIS)
Allah s.w.t
berfirman:
Dan sangkaan kamu
yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah
membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu
dari orang-orang yang rugi!” (Ayat 23 : Surah Fussilat)
. .
No comments:
Post a Comment