34 & 35: PERMULAAN DAN KESUDAHAN.
TANDA AKAN BERJAYA PADA AKHIR PERJUANGAN ADALAH KUAT MENYERAH DIRI
KEPADA ALLAH S.W.T PADA AWAL PERJUANGAN.
BARANGSIAPA CEMERLANG PERMULAANNYA, AKAN CEMERLANGLAH KESUDAHANNYA.
Hikmat 34
merumuskan intisari kesemua Kalam Hikmat yang dihuraikan terlebih dahulu. Berserah diri kepada Allah s.w.t,
bertawakal kepada-Nya dan mengembalikan segala urusan kepada-Nya adalah jalan
untuk mendekati Allah s.w.t.
Kesemua ini boleh
diibaratkan sebagai kenderaan, sementara ilmu dan amal diibaratkan sebagai
roda. Sesiapa yang hanya membina roda tetapi tidak membina kenderaan maka dia
akan memikul roda bukan menaiki kenderaan. Dia akan keletihan dan
berhenti di tengah jalan sambil asyik bermain-main dengan roda seperti
kanak-kanak.
Persoalan menyerah
diri sering menimbulkan kekeliruan kepada orang yang berlarutan membincangkan
mengenainya. Suasana hati dan darjat akal mengeluarkan berbagai-bagai huraian
tentang berserah diri kepada Allah s.w.t.
Ada orang
beranggapan berserah diri adalah berpeluk tubuh, tidak melakukan apa-apa. Ada
pula berpendapat orang yang berserah diri itu hidup dalam ibadat semata-mata,
tidak memperdulikan kehidupan harian. Banyak lagi anggapan dan pendapat yang
dikemukakan dalam menjelaskan mengenai berserah diri. Sifat orang yang berserah diri adalah merujuk sesuatu perkara yang
diperselisihkan kepada Allah s.w.t. Mereka tidak taasub memegang sesuatu
fahaman yang diperolehi melalui fikirannya atau pendapat orang lain. Mereka
bersedia melepaskan fahaman dan pendapat peribadi sekiranya ia bercanggah
dengan peraturan dan hukum Tuhan.
Sewaktu hidup di dalam dunia ini lagi mereka mengembalikan segala urusan
kepada Allah s.w.t kerana mereka yakin bahawa diri mereka dan urusan mereka
akan kembali juga kepada Allah s.w.t di akhirat kelak.
Perjumpaan dengan Allah s.w.t di akhirat menguasai tindakan mereka sewaktu
hidup di dunia ini.
Dan (katakanlah
wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara agama yang kamu
berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim
yang demikian kekuasaan-Nya ialah Allah Tuhanku; kepada-Nya jualah aku berserah
diri dan kepada-Nya jualah aku rujuk kembali (dalam segala
keadaan)”. (Ayat 10 : Surah asy-Syura)
Orang yang berserah diri kepada Allah s.w.t, mengembalikan urusan mereka
kepada-Nya, meyakini bahawa golongan manusia yang benar-benar mengerti kehendak
Allah s.w.t adalah golongan nabi-nabi. Oleh itu pegangan dan tindakan para
anbia mesti dijadikan sandaran dalam membentuk pegangan peribadi dan juga dalam
melakukan tindakan.
Dan ia (Yaakub)
berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari
sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang
berlain-lain. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan
kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan
sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nya jualah
aku berserah diri, dan kepada-Nya jualah hendaknya berserah diri orang-orang
yang mahu berserah diri”. (Ayat 67 : Surah Yusuf)
Ayat di atas
menceritakan sifat berserah diri yang ada pada Nabi Yaakub a.s. Beliau a.s
menasihatkan anak-anaknya yang sebelas orang itu memasuki kota Mesir melalui
pintu-pintu yang berlainan.
Ia menunjukkan Nabi
Yaakub a.s mengakui tuntutan
berikhtiar sebagaimana kedudukan mereka sebagai manusia. Walaupun
begitu Nabi Yaakub a.s mengingatkan pula anak-anaknya bahawa mengikuti nasihat
beliau a.s bukanlah jaminan yang anak-anaknya akan selamat dan mendapatkan apa
yang mereka cari.
Ikhtiar pada zahir
mesti disertai dengan iman pada batin. Orang yang beriman
meyakini bahawa Allah s.w.t sahaja yang mempunyai kuasa penentuan. Oleh yang
demikian orang yang beriman dituntut agar berserah diri kepada Allah s.w.t
sahaja, tidak berserah diri kepada yang lain, sekalipun yang lain itu adalah
malaikat, wali-wali ataupun ayat-ayat Allah s.w.t. Allah s.w.t yang menguasai
malaikat, wali-wali dan ayat-ayat-Nya.
Penyerahan bulat kepada Allah s.w.t bukan kepada sesuatu
yang dinisbahkan kepada-Nya. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi
Hud a.s sebagaimana yang diceritakan oleh ayat berikut:
“Kerana
sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu!
Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan
Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang
lurus”. (Ayat 56 : Surah Hud)
Tuhan berada di atas jalan yang lurus. Tuhan tidak
mengantuk, tidak lalai, tidak keliru dan tidak melakukan kesilapan. Apa sahaja
yang Tuhan lakukan adalah benar dan tepat. Tuhan berbuat sesuatu atas dasar
ketuhanan dan dengan sifat ketuhanan, tidak ada pilih kasih.
Dia adalah Tuhan
Yang Maha Adil. Pekerjaan-Nya adalah adil. Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengerti
dan Maha Bijaksana. Pekerjaan-Nya adalah sempurna, teratur dan rapi. Dia adalah
Tuhan Pemurah dan Penyayang. Pekerjaan-Nya tidak ada yang zalim. Tuhan yang
memiliki sifat-sifat ketuhanan yang baik-baik itu mengadakan peraturan untuk
diikuti. Mengikuti peraturan-Nya itulah penyerahan kepada-Nya.
Nabi-nabi dan
orang-orang yang beriman diperintahkan supaya menyampaikan kepada umat manusia
apa yang datang daripada Allah s.w.t. Pekerjaan
manusia adalah menyampaikan.
Jika apa yang
disampaikan itu tidak diterima, maka serahkannya kepada Allah s.w.t. Dia
memiliki Arasy yang besar, yang memagari sekalian makhluk. Tidak ada makhluk
yang dapat menembusi Arasy-Nya. Arasy-Nya adalah pagar Qadar. Apa yang dia
ciptakan dan tentukan untuk makhluk-Nya dipagari oleh Arasy.
Kemudian jika
mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku
Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dia jualah yang mempunyai
Arasy yang besar”. (Ayat 129 : Surah at-Taubah)
Tauhid adalah kesudahan pencapaian. Pada
peringkat ini, syirik tidak ada lagi walaupun sebesar zarah. Dalam proses
mencapai tauhid perlu ada pengasingan dan perbezaan antara Tuhan dengan yang
selain Tuhan.
Tidak boleh
diadakan sekutu bagi Tuhan. Tidak
boleh meletakkan anasir alam, amal, doa dan sebagainya pada kedudukan yang
boleh menyebabkan timbul anggapan yang selain Tuhan itu mampu mencabar
kekuasaan Tuhan. Tidak boleh terjadi ketaatan dan penyayangan terhadap
sesuatu melebihi ketaatan dan penyayangan terhadap Allah s.w.t.
Katakanlah (wahai
Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu,
dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta
benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan
(daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)”. (Ayat 24 : Surah at-Taubah)
Perlu difahamkan bahawa sekalipun hamba telah berserah
diri kepada Allah s.w.t, tanpa Allah s.w.t menerimanya tidak mungkin tercapai
tujuannya. Penerimaan Allah s.w.t yang benar-benar membawa hamba
kepada-Nya.
Tanda Allah s.w.t menerima hamba-Nya ialah
terdapat kecemerlangannya dimasa permulaan. Berlaku perubahan-perubahan kepada
diri si hamba itu. Sifat buruknya terbuang dan sifat terpuji menghiasinya. Dia
menjadi gemar beribadat dan berbuat taat. Semakin jauh perjalanannya semakin
cemerlang hatinya. Dia diterangi oleh Nur Ilahi dan dikurniakan ilmu laduni,
iaitu ilmu mengenal Allah s.w.t. Nur Makrifat menyinarinya, maka kenallah dia
pada Tuhannya.
No comments:
Post a Comment